Hentikan pemberian hadiah Hari Guru - Bekas Pendidik

JANGAN beri hadiah kepada guru dengan niat untuk mendapat layanan istimewa. – GAMBAR HIASAN

BARU-BARU ili ditularkan semula kisah sedih seorang murid ponteng sekolah di negara ini kerana tidak mampu bawa hadiah untuk guru yang berlaku pada 2016. 

Kisah tersebut memang menarik perhatian kerana pada masa sama, ada guru berkongsi dalam laman Facebook mereka gambar hadiah yang diterima daripada anak-anak murid dengan disertai ucapan terima kasih. 

Di Malaysia, pemberian hadiah inemang menjadi satu rutin yang dinantikan oleh 'sekumpulan guru' setiap kali tiba sambutan Hari Guru pada 16 Mei. 

Namun di China, kerajaan negara itu mengeluarkan notis larangan aktiviti pemberian hadiah kepada guru jika ia dibiayai oleh dana awam dan berlaku pembaziran wang sekolah. 

Mungkin agak memalukan sistem pendidikan secara keseluruhan jika Hari Guru menjadi tarikh ibu bapa dan murid 'pening' memikirkan hadiah yang perlu diberikan kepada guru untuk memastikan anak-anak mereka mendapat 'layanan istimewa. 

Dalam pada itu, tinjauan yang dijalankan dalam internet melibatkan ibu bapa kaum Cina di negara ini menunjukkan majoriti mereka menghadapi dilema setiap kali menjelang sambutan Hari Guru. 

Selain bunga, buah-buahan, jam tangan serta beg tangan mahal, barang kemas dan baucar beli-belah, ada ibu bapa turut menghadiahkan wang tunai kepada guru. Beberapa ibu bapa yang kaya juga mengaturkan lawatan ke luar negara untuk guru. 

Pengkomersialan pemberian hadiah kepada guru telah menjadi masalah sosial yang besar sehinggakan ada sesetengah ibu bapa mengadakan kempen menerusi internet untuk mencadangkan dimansuhkan sama sekali sambutan Hari Guru pada setiap tahun. Cadangan itu disokong oleh 94 peratus responden.

Tukang Kebun

Dalam perkembangan berkaitan, sesetengah guru yang menolak hadiah diberikan oleh ibu bapa dan murid. Pada 2012, terdapat 10 sekolah rendah dan menengah terkenal menggunakan laman web Kementerian Pendidikan untuk membuat kenyataan merayu guru di seluruh negara supaya menolak hadiah daripada ibu bapa dan murid. Kenyataan itu disambut baik oleh ramai ibu bapa.

Secara tradisinya, guru sentiasa dipandang tinggi oleh masyarakat Cina. Kebanyakan orang Cina masih percaya dengan pepatah, seorang guru untuk sehari adalah bapa untuk seumur hidup.

Kita juga telah lama melihat guru sebagai "tukang kebun' yang rajin membantu 'bunga' berkembang untuk tanah air.

Kita juga tahu bahawa negara tidak dapat maju dan berkembang tanpa dedikasi daripada guru-gurunya yang mendidik dari satu generasi ke generasi lain. Oleh itu, seluruh masyarakat harus menghormati
guru.

Dan sememangnya boleh difahami dan diterima bahawa pelajar memberikan hadiah kepada guru untuk menunjukkan rasa hormat dan terima kasih mereka.

Tetapi hubungan suci antara guru dan murid tercemar apabila pelajar memberi hadiah dengan motif tersembunyi untuk mendapatkan layanan istimewa.

Dengan penciptaan teknologi baharu bagi memberi dan menerima hadiah seperti e-baucar, e-kad dan peket merah WeChat, penyelewengan pemberian hadiah dengan niat mendapat layanan istimewa sukar untuk dikesan.

Oleh itu, Kementerian Pendidikan perlu mengambil langkah lebih tegas untuk menambah baik sistem pendidikan secara keseluruhan bagi memastikan tiada ruang berlakunya rasuah.

 

Previous Post Next Post