Sekolah hadapi krisis kekurangan pekerja pembersihan

Imej hiasan


PETALING JAYA – Sekolah-sekolah telah mengalami krisis kekurangan pekerja pembersihan sehingga sesetengah murid enggan pergi ke tandas yang kotor. 

Sesetengah sekolah tidak mempunyai walaupun seorang tukang bersih sehingga para guru dan murid perlu membantu dalam kerja pembersihan. 

Sinchew Daily melaporkan, keadaan itu berlaku susulan pelaksanaan gaji minimum baharu dan pekerja yang gaji mereka tidak diselaraskan memilih untuk berhijrah ke syarikat baharu. 

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Mah Hang Soon ketika dihubungi memberitahu memang terdapat pejabat pendidikan daerah dan jabatan pendidikan negeri yang menerima aduan daripada sekolah bahawa kontraktor gagal menyediakan tukang bersih seperti yang ditetapkan dalam kontrak. 

Beliau bagaimanapun berkata, kontrak Kementerian Pendidikan dengan kontraktor sebenarnya telah dikemas kini selari dengan pelaksanaan gaji minimum baharu iaitu RM1,500. 

“Pekerja yang menandatangani kontrak dengan kontraktor selepas 1 Mei akan menggunakan RM1,500 sebagai standard gaji minimum. 

“Bagi pekerja yang menandatangani kontrak sebelum 1 Mei pula, penyelarasan kontrak sedang dilakukan jika gaji mereka kurang daripada RM1,500. Mereka juga boleh menerima tunggakan yang ada,” katanya. 

Tegas Hang Soon, syarikat kontraktor perlu menyediakan tukang bersih yang mencukupi kepada sekolah mengikut kontrak. 

“Mereka tidak boleh menghantar dua tiga orang untuk bekerja di satu sekolah selama beberapa jam selang dua tiga hari. Keadaan ini adalah melanggar kontrak,” katanya. 

Jelasnya, pihak sekolah boleh mengemukakan maklumat yang lengkap mengenai kegagalan kontraktor, dan Kementerian Pendidikan boleh menyenarai hitam syarikat berkenaan. 

Tegasnya, syarikat kontraktor tidak boleh berdalih terutamanya kerana sekolah telah dibuka sepenuhnya pada masa ini dan memerlukan tukang bersih setiap hari. 

Sementara itu, seorang pengerusi persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) sebuah sekolah menengah kebangsaan (SMK) di Selangor berkata, kegagalan penyelarasan gaji menyebabkan ramai tukang bersih “lari” atau meletak jawatan. 

Kata beliau, sekolahnya sudah sebulan tidak mempunyai tukang bersih yang tetap dan ramai ibu bapa mengadu tentang isu kebersihan tandas. 

“Ada murid yang menahan kencing sampai habis sekolah kerana tidak mahu menggunakan tandas yang kotor,” katanya. 

Tambahnya, dengan 1,200 pelajar, sekolahnya pada asal mempunyai lima tukang bersih tetapi hanya tinggal seorang sahaja pada Mac. 

“Tetapi pekerja pembersihan terakhir ini telah pulang ke Indonesia semasa Aidilfitri dan kami tidak tahu sama ada pekerja ini akan bekerja semula,” katanya. – MalaysiaGazette

 

Previous Post Next Post