KKM beri 'kuasa' kepada sektor awam, swasta tentukan sekatan


KUALA LUMPUR : Kementerian Kesihatan (KKM) memberi 'kuasa' kepada sektor awam dan swasta dalam menentukan bentuk sekatan baharu terhadap mana-mana individu yang masih enggan menerima vaksin tanpa alasan munasabah.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, langkah itu satu usaha berperingkat kerajaan khususnya kementerian untuk memastikan mereka yang masih menolak vaksin supaya tampil mendapatkan pelalian itu segera.

"Kita akan teruskan pendekatan ini dan saya sudah galakkan supaya ada sekatan di peringkat sektor, maksudnya sektor perkhidmatan awam, sektor swasta dan sebagainya sebelum kita memikirkan langkah lebih menyeluruh seperti mewajibkan dari segi undang-undang untuk menerima vaksin.

"Sekatan kebebasan ini hanya dituju kepada mereka yang enggan menerima vaksinasi. Kita kena bezakan, sebab ini ada dua kumpulan. Kumpulan yang tidak boleh menerima vaksinasi atas sebab kesihatan atau kumpulan yang memang enggan menerima vaksinasi," katanya pada sesi penggulungan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) peringkat kementeriannya di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata, KKM tidak akan berganjak dengan pendirian dan tindakan asal untuk terus meminta mereka yang enggan terima vaksin tampil, selain menyifatkan pendekatan itu jauh lebih berhemah berbanding jika pengambilannya diwajibkan di bawah undang-undang.

"Dimaksudkan di sini, bukan kita atau kerajaan yang menyusahkan mereka, tetapi pilihan mereka yang menyusahkan mereka sendiri iaitu mereka tidak mengambil vaksin, enggan menerima vaksin, tidak ingin mendengar hujah saintifik dan akhirnya tidak akan mendapat kebebasan yang sama seperti rakyat dan penduduk yang sudah menerima vaksin," katanya.

Khairy berkata, sehingga kini, kira-kira 95 peratus individu dewasa di negara ini sudah mendapatkan vaksin mereka sekurang-kurangnya satu dos, menunjukkan jumlah mereka yang enggan menerima vaksin adalah rendah.

"Saya ingin melaporkan lebih 95 peratus daripada penduduk dewasa Malaysia sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin. Maksudnya, jumlah yang enggan menerima vaksin ini sangat kecil. Namun demikian, kita akan terus pujuk mereka untuk mendapatkan vaksinasi," katanya.

Sabtu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan kerajaan belum memutuskan untuk mewajibkan pengambilan vaksin COVID-19.

Perdana Menteri berkata cadangan itu masih di peringkat kajian sebelum diputuskan Kabinet sama ada terdapat keperluan untuk mewajibkan vaksin berkenaan atau sebaliknya.

Sebelum ini, beberapa sekatan dikenakan kepada individu yang masih enggan dan belum melengkapkan vaksin mereka termasuk larangan rentas negeri, makan di restoran serta menunaikan umrah.
Previous Post Next Post