KPM pandang serius pemeriksaan haid murid perempuan di sekolah - Dr Radzi



PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan memandang serius amalan pemeriksaan haid secara fizikal dalam kalangan murid perempuan di sekolah.

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, beliau komited untuk memastikan amalan itu tidak terus berlaku di mana-mana institusi kementerian.

“Sejurus selepas tiba dari Kuching di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi, saya terus ke sebuah sekolah di Setapak, Kuala Lumpur.

“Saya ke sana bagi mendapatkan maklumat berhubung dakwaan berlaku amalan pemeriksaan haid secara fizikal dalam kalangan murid perempuan.

“Turut bersama saya adalah Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Yusran Shah Mohd. Yusof dan Ketua Pengarah Pendidikan, Datin Seri Nor Zamani Abdol Hamid,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam tadi.

Katanya, kedatangannya adalah untuk mendengar dan mendapatkan maklum balas secara terus daripada murid di sekolah berkenaan.

Radzi berkata, beliau juga mendengar penjelasan daripada pengetua dan guru sekolah.

“Kami akan perhalusi perkara-perkara yang dimaklumkan pada perjumpaan itu.

“Kementerian Pendidikan sentiasa komited untuk menyediakan persekitaran yang selamat dan selesa di sekolah dan asrama. Ini bagi mewujudkan sekolah yang sejahtera untuk semua,” katanya.
Previous Post Next Post