Guru-guru YIK tolak vaksin akhirnya setuju terima suntikan

KOTA BHARU - Guru-guru Yayasan Islam Kelantan (YIK) yang sebelum ini menolak vaksin Covid-19 bersetuju untuk mengambil suntikan itu dalam usaha mencegah dan memutuskan rantaian jangkitan seperti yang disarankan oleh kerajaan. 


Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin berkata, perubahan sikap itu hasil pertemuan dan sesi kaunseling yang dilakukan kepada guru-guru tersebut berkaitan kebaikan vaksin.

"Ini sesuatu yang positif, keputusan untuk memberi suntikan vaksin ini mengambil kira pendapat daripada pakar perubatan dan agama," katanya ketika ditemui selepas melawat program suntikan dos penggalak vaksinasi Covid-19 kepada barisan hadapan di Kota Darulnaim di sini, pada Selasa.

Menurutnya, bagi guru-guru yang berkhidmat di bawah seliaan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), pihaknya menyerahkan perkara tersebut kepada agensi berkenaan untuk mengendalikan.

Beliau berkata, semua pihak termasuklah rakyat perlu bersama dengan kerajaan dalam mendokong pengambilan vaksin ini untuk membendung penularan jangkitan Covid-19.

Dalam perkembangan lain, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang itu berkata, seramai 12,000 petugas barisan hadapan daripada kumpulan perubatan dan bukan perubatan sedang menerima suntikan penggalak.

"Pengambilan suntikan penggalak ini bertujuan memperkukuhkan lagi tahap imuniti badan para petugas barisan hadapan yang sentiasa terdedah dengan jangkitan itu. "Suntikan penggalak bagi warga emas yang berusia 60 tahun ke atas sudah mula diberikan secara rasmi pada Isnin, 1 November," katanya.
Sumber: Sinar Harian
Previous Post Next Post