KPM ada masalah dalam isu komunikasi - Maszlee


Berpuluh-puluh ribu aduan yang majoritinya dikemukan warga pendidik kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Pendidikan Parlimen Malaysia, khususnya melalui akaun media sosial Pengerusinya, Dr Maszlee Malik. Antara aduan paling banyak berkaitan isu kelesuan upaya, Pentaksiran Berasaskan Bilik Darjah (PBD) dan cuti hujung tahun yang disingkatkan. Wartawan akhbar Berita Harian mendapatkan pandangan Maszless mengapa warga pendidik begitu terbuka berkongsi masalah bersaama jawatankuasa itu, selain Presiden Kesatuan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang berhubung isu beban tugas guru.

Soalan (S): Boleh jelaskan latar Jawatankuasa Pilihan Khas Pendidikan Parlimen Malaysia dan bidang kuasanya?

Jawapan (J): Jawatankuasa ini diwujudkan sebagai sebagian usaha reformasi Parlimen berdasarkan memorndum persefahaman (MoU) ditandatangani pihak kerajaan dan pembangkang pada 13 September lalu. Kalau boleh kita nak mematangkan demokrasi, kita nak supaya kuasa eksekutif iaitu kementerian turut dipantau bukan oleh ahli Parlimen sebagai individu, tetapi melalui jawatankuasa yang keanggotaannya merentas parti.

Saya nampak jawatankuasa ini menjadi pelantar kepada pemegang taruh sama ada pihak pendidik, ibu bapa mahupun badan bukan kerajaan (NGO) untuk bawa suara mereka kepada kementerian dan menjadikan kementerian bertanggungkawab kepada rakyat. Berkenaan bidang kuasa, kami ada terma rujukan iaitu selagi mana ia berkaitan pendidikan dipersetujui oleh Dewan Rakyat dan menteri.

Jika kami panggil menteri, jadi menteri kena datang. Begitu juga pentadbir bahagian operasi. Setakat ini, jawatankuasa sudah dua kali bermesyuarat dan mereka beri kerjasama baik.

S: Boleh ulas mengenai peranan jawantankuasa sebagai saluran aduan?

J: Sejurus dipilih menjadi pengerusi, saya membuat pengumuman di Facebook mengatakan selepas ini ada jawatankuasa yang akan menyampaikan suara pendidik, pemegang taruh dan rakyat kepada kementerian. Wakti saya sudah mula terima aduan kerana pendidikan ada isu yang bersangkutan semua orang.

Minggu berikutnya selepas mesyuarat pertama jawatankuasa pada 11 November, kami putuskan untuk wujudkan ruang media sosial sebagai medium perhubungan dengan rakyat, tetapi kita belum umum. Maka pelantar media sosial peribadi saya menjadi 'mangsa' baik masyarakat buat aduan sama ada melalui inbox (peti surat) atau komen pada status.

Bukan sekadar ribuan, malah mencecah puluhan ribu dan ini berlaku setiap jam. Oleh kerana mereka tahu jawatankuasa akan bermesyuarat lagi (Khamis lalu), sejak minggu lalu saya terima mesej aduan bertali arus. Apabila Kementerian Pendidikan (KPM) buat pengumuman tentang takwim persekolahan, jadual Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pelaksanaan Pentaksiran Setara Standard bertali arus lagi aduan masuk.

Di sini saya dapat kenal pasti bahawa kementerian mempunyai isu komunikasi. Rakyat tak ada ruang sampaikan aduan. Kalau sampaikan aduan pun, tiada maklum balas. Apabila tak ada saluran komunikasi, rakyat tercari-cari dan apabila muncul jawatankuasa ini, mereka rasakan ia sebagai harapan. Ibarat 'light at the end of the tunnel' (cahaya di hujung terowong).

Semua aduan ini dibuat ibu bapa, kakitangan pentadbiran sekolah, NGO dan pihak masyarakat, hinggakan di peringkat pengawal keselamatan, pencuci dan pekerja kantin. Saya cuba tengok betul ke tidak dan apabila semak profil Facebook pengadu, memang betul. Ia aduan sahih.

S: Apa boleh disimpulkan daripada puluhan ribu aduan dan keluhan disalurkan kepada jawatankuasa?

J: Biasanya orang nampak isu keciciran pelajaran dan 'lost generation' (generasi yang hilang) sedangkan kita juga perlu lihat isu guru dan murid lesu upaya (burnt out), begitu juga ibu bapa. Berdasarkan komen dan sebagainya, kita dapati masyarakat risau, resah dan gusar tentang hala tuju pendidikan kita dan mereka letakkan harapan begitu tinggi kepada jawatankuasa hinggakan ada melebihi bidang kuasa kami. Pun begitu, kita akan perjuangkan juga dan berharap ini menjadi pemangkin kepada kematangan demokrasi dan seterusnya menjadikan pendidikan sebagai tanggungjawab bersama semua pihak.

S: Mengenai aduan dibangkitkan, apa maklum balas kementerian setakat ini?

J: Saya dapati kementerian cuba yang terbaik, mereka laporkan kepada kita sesi libat urus dan proses membuat keputusan. Cuma saya dapati isu komunikasi paling bermasalah di situ.

Berkaitan isu pelan jangka masa panjang, mereka katakan sudah buat intervensi. Namun itu keputusan ad hoc, akan timbul pelbagai keputusan rencam dan kalau komunikasi tidak betul, guru akan hilang punca.

Yang disebut tiada isu (aduan paling banyak) itu, ia hanya sebahagian. Sekarang timbul isu jadual SPM yang dikatakan padat hinggakan Ahad pun ada peperiksaan. Kemudian isu Pentaksiran Kesetaraan Standard, maksudnya naik sekolah terus duduki peperiksaan untuk menilai pelajar. Saya faham tujuan kementerian nak ukur kemampuan pelajar dan kumpulkan data, tetapi mereka perlu tahu apabila sekolah dibuka, ramai tidak bermotivasi dan lesu upaya.

Jadi, kami tekankan kepada kementerian, dalam tempoh sebulan ini pulihkan dahulu semangat pelajar, guru dan ibu bapa. Biarlah pelajar dan guru rasa seronok ke sekolah kerana mereka sudah berbulan-bulan tidak ke sekolah dan belajar guna kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR). Apabila nak mula sekolah balik, sepatutnya kita pulihkan motivasi bukannya bebankan mereka dengan kerja macam itu. Saya daripada dulu menyeru supaya ada keseronokan dalam pelajaran.

Kami juga sampaikan kepada kementerian supaya memberidayakan (beri kuasa kepada) sekolah. Pada saya, dalam tempoh sebulan ini mereka perlu menggembirakan guru dan anak murid di sekolah, sekaligus beri keyakinan kepada ibu bapa.

S: Boleh ulas kaedah pengajaran dan pembelajaran menyeronokkan?

J: Guru lebih tahu pedagogi lebih sesuai waktu ini. Contohnya Cikgu Samuel Isaiah yang agak terkenal dan tercalon sebagai finalis Anugerah Hadiah Guru Global 2020. Dia bawa anak murid duduk bawah pokok, mengajar Bahasa Inggeris sambil bermain muzik. Dia ditegur Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) kata tak boleh, kena buat dalam kelas walhal dia lebih tahu apa yang murid dia perlukan.

Di sinilah bagi saya pihak pentadbir iaitu, PPD, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan KPM perlu beri kepercayaan kepada guru. Katakan guru tengok murid dalam keadaan lesu dan dia sendiri pun tak ada motivasi. Dia lihat cara terbaik ialah melakukan aktiviti luar. Biar mereka lakukan, kalau mereka lihat lebih kepada aktiviti seperti buat lawatan, biarkan mereka buat.

Guru tak boleh diletakkan dalam 'straitjacket' (jaket pasung) tetapi perlu diberi kebebasan selagi mana mereka mematuhi garis panduan. Berikanlah kebebasan kepada mereka untuk memulihkan jiwa sendiri dan murid.

S: Ada pandangan sinis, kenapa boleh lesu upaya, sedangkan guru duduk di rumah sepanjang PKP, gaji pun jalan. Apa komen?

J: Memang gaji jalan, tetapi apabila mereka laksanakan PdPR, data internet guna duit kocek sendiri, kelengakapan pun sama dan elektrik pun bayar sendiri. Alat bantuan mengajar kalau sediakan PowerPoint sahaja tak apa, namun ada guru buat lebih daripada itu kerana nak elakkan anak murid 'boring' (bosan). Guna duit kocek sendiri lagi.

Memanglah duduk di rumah. Biasanya orang duduk di rumah boleh jaga anak, kemas rumah. Ini tak ada wakti, sebelum mengajar kena siapkan bahan, selpas mengajar tengok ada anak murid tak ikut PdPR, kena telefon tanya khabar. Sebenarnya kerja mereka lagi banyak, bertambah daripada normal.

Kita tidak nafikan ada seorang dua guru culas atas pelbagai sebab. Ada guru 'lama' yang kemampuan dia tak sampai untuk gunakan teknologi. Ada juga yang ada masalah sendiri. Mungkin guru kena COVID-19, jadi tak boleh kita nak salahkan dan pukul rata semua. Kita kena ingat guru juga ada anak. Selain mengajar, dia kena pastikan anak-anak sendiri ikut pembelajaran. Kalau nak kata guru goyang kaki di rumah, itu tak betullah.

Selain itu, mereka sudah bertungkus lumus sepanjang tahun ini, orang cuti mereka tak cuti. Cuti akhir tahun diberi tiga minggu, seminggu sebelum buka sekolah mereka kena balik ke sekolah, apatah lagi di Sabah dan Sarawak. Mereka tak ada rehat. Kemudian keluar pula jadual SPM. Bagi guru yang jaga SPM, padat lagi jadual memang tak ada cuti.

Pihak KPM cakap saya melayan sangat kerenah guru. Ini bukan soal melayan kerenah, ini isu kita mendengar keluhan mereka. Mereka ini harapan untuk didik anak kita. Kalau mereka sendiri hilang semangat, lesu upaya, siapa lagi kita nak harapkan?

Bacaan lanjut boleh diperoleh melalui akhbar Berita Harian



Previous Post Next Post