Lelaki cuba larikan murid Tingkatan Satu di hadapan sekolah berjaya diberkas


JOHOR BAHRU, 28 Nov - Polis malam tadi berjaya memberkas seorang lelaki yang dipercayai cuba melarikan seorang murid perempuan berusia 13 tahun dalam kejadian Khamis lepas di hadapan sebuah sekolah di Taman Molek, Johor Jaya di sini.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata individu berusia 35 tahun itu ditahan di Senawang, di Negeri Sembilan pada pukul 8.53 malam oleh Jabatan Siasatan Jenayah D8 dan D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.

“Hasil semakan rekod lampau mendapati individu ini mempunyai satu rekod jenayah dan dadah, manakala ujian air kencing pula adalah positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata lelaki itu ditahan reman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan bagi kesalahan berkaitan culik.

Dalam kejadian pada kira-kira pukul 6.50 pagi 25 Nov lepas, murid terbabit yang baru turun daripada van sekolah telah dipanggil oleh seorang lelaki memandu kereta Perodua Kancil yang tidak dikenalinya.

Individu itu memintanya untuk menghantar satu borang kepada sekolah sebelum murid itu ditarik masuk ke dalam kereta dan dibawa lari kira-kira 400 meter daripada lokasi kejadian, bagaimanapun murid terbabit berjaya melepaskan diri serta meminta bantuan daripada orang awam.

- BERNAMA

 

Previous Post Next Post