Guru lelaki ditemukan maut dalam kenderaan pacuan empat roda

Foto ihsan PDRM

Lipis: Seorang guru lelaki ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah pacuan empat roda di kawasan semak di Kampung Daling, Padang Tengku, dekat sini, Khamis lalu. 

Tengku Suhaimi Tengku Yusoff, 54, ditemukan terbaring di dalam kenderaan itu. 

Tiada sebarang kesan kecederaan atau kesan darah serta tiada sebarang senjata dijumpai dalam kereta atau di kawasan berhampiran. 

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, susulan maklumat awam, anggota polis dari Balai Polis Padang Tengku ke tempat kejadian untuk pemeriksaan. 

"Mayat lelaki itu dibawa keluar dari kawasan itu pada 8.15 malam hari sama," katanya melalui kenyataan media, hari ini. 

Katanya, siasatan mendapati, lelaki itu bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Indra Petra, Gua Musang. 

Katanya, bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat serangan jantung, dan siasatan lanjut masih dijalankan. 

"Jenazah mangsa sudah dituntut oleh isterinya untuk dikebumikan semalam," katanya.

 

Previous Post Next Post