KPM siap siaga sekolah sebagai PPS untuk mangsa banjir


PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) akan memastikan pusat pemindahan sementara (PPS) di sekolah dapat beroperasi dengan teratur khususnya bagi keselesaan mangsa banjir.

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, pihaknya juga bersedia membantu agensi-agensi berkaitan bagi penyediaan PPS itu.

Beliau berkata, melihat kepada keadaan banjir kali ini yang di luar jangkaan, banyak sekolah di bawah KPM akan digunakan sebagai PPS.

“Sekitar pukul 1 pagi tadi saya sampai di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Panglima Garang untuk meninjau PPS bagi mangsa banjir dari kawasan sekitarnya.

“Saya diberi taklimat oleh beberapa pegawai daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkenaan situasi terkini di pusat ini.

“Alhamdulillah, semua urusan permindahan berjalan lancar. Terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan kepada semua pihak yang telibat dalam proses membantu mangsa-mangsa banjir ini, termasuk pihak sekolah,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Katanya, beliau berdoa agar urusan pengendalian mangsa banjir di semua PPS termasuk di sekolah kendalian KPM serta tempat-tempat lain di seluruh negara dipermudahkan. 

 

Previous Post Next Post