Lebih 21000 murid berhenti sekolah, pakar gesa segera lakukan Pelan Pemulihan Pendidikan


PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan disarankan untuk segera melakukan Pelan Pemulihan Pendidikan susulan laporan seramai 21,316 murid yang telah berhenti sekolah sejak Mac 2020 lalu.

Pensyarah, Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, ini kerana pelan pemulihan itu amat diperlukan bagi menangani isu keciciran pendidikan dalam kalangan murid dengan kadar segera.

Pihaknya juga melihat pelan pemulihan itu dapat dilaksanakan berikutan kementerian itu sudah mempunyai data terkini murid-murid yang telah keciciran pendidikan.

“Kementerian Pendidikan tidak boleh membiarkan murid-murid ini terus berhenti sekolah atas faktor kemiskinan dan ketidakupayaan ibu bapa untuk menghantar anak mereka ke sekolah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai laporan seramai 21,316 murid yang telah berhenti sekolah sejak Mac 2020 yang dimaklumkan kepada ahli-ahli Parlimen dalam sidang Parlimen minggu lepas.

Menurut Dr. Anuar, perkara itu adalah satu berita yang sangat mengecewakan kerana berdasarkan pemakluman itu, murid-murid ini telah dikategorikan sebagai murid yang keciciran pendidikan dan telah terkeluar dari sistem pendidikan.

“Dalam kajian pendidikan terdapat dua bentuk keciciran iaitu keciciran pendidikan dan keciciran pembelajaran.

“Keciciran Pendidikan merujuk kepada murid-murid yang telah berhenti sekolah manakala keciciran pembelajaran merujuk kepada murid-murid yang kerap tidak hadir atau ponteng sekolah, murid-murid yang tidak memberikan tumpuan pada pengajaran dan murid-murid yang mempunyai prestasi pencapaian yang sangat rendah.

“Biasanya kumpulan yang mengalami keciciran pembelajaran adalah jauh lebih besar berbanding keciciran pendidikan,” jelasnya.

Tambah beliau, berdasarkan kajian pendidikan, keciciran pendidikan biasanya sangat dipengaruhi oleh faktor kemiskinan keluarga.

“Sebelum pandemik Covid-19 melanda negara, memang telah wujud keciciran pendidikan tetapi jumlahnya adalah sangat kecil dan terkawal, namun apabila pandemik Covid-19 berlaku sejak Mac 2020, ramai ibu bapa yang telah kehilangan pekerjaan menyebabkan pendapatan keluarga merosot teruk.

“Kajian oleh pasukan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia pada bulan Ogos 2020 bertajuk ‘ Families on the Edge’ melaporkan perbelanjaan keluarga untuk tujuan pendidikan anak-anak adalah yang paling tinggi dipotong oleh keluarga B40 di bandar.

“Misalnya di Kuala Lumpur, pemotongan perbelanjaan untuk pendidikan anak-anak telah dipotong sehingga 84 peratus. Ini menyebabkan ramai anak-anak keluarga B40 tidak dapat meneruskan pembelajaran secara berkesan sepanjang pandemik berlaku,” katanya.

Selain itu katanya, faktor motivasi murid-murid yang merosot dan terdapat murid-murid yang bekerja upah harian sepanjang pandemik juga menjadi penyebab kepada peningkatan jumlah keciciran pendidikan.

Katanya, ini sekali gus menjadikan mereka hilang fokus dan motivasi untuk meneruskan persekolahan.

“Seterusnya, faktor aspirasi ibubapa yang rendah terhadap pendidikan anak-anak juga boleh menyebabkan anak-anak hilang fokus dan akhirnya berhenti sekolah. Apabila ibubapa sendiri tidak lagi mengambil berat tentang pendidikan anak-anak mereka, keciciran pendidikan pasti akan berlaku,” katanya.

Jelas beliau, badan dunia seperti Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan Bank Dunia telah pun mengeluarkan peringatan pada Jun 2020.

“Peringatan itu bahawa jika sistem pendidikan negara di dunia tidak memantau isu lost generation dan learning lost maka akan berlaku keciciran pendidikan yang besar di negara tersebut.

“Walaupun peringatan oleh badan dunia ini telah dikeluarkan, malangnya di Malaysia tidak ada sebarang usaha atau program khusus untuk memantau dan mengawal isu keciciran pendidikan ini.

“Apa yang sepatutnya dilakukan oleh Kementerian Pendidikan sejak Mac 2020 ialah mewujudkan badan khas diperingkat kementerian untuk memantau dan memastikan isu keciciran pendidikan tidak meningkat.

“Antaranya dengan menyediakan bantuan kewangan pendidikan kepada anak-anak keluarga B40, bantuan makan untuk kanak-kanak miskin dan bantuan khidmat nasihat dan kaunseling kepada ibu bapa dan murid-murid yang dikenal pasti tidak mahu meneruskan persekolahan mereka. Malangnya itu tidak dilakukan,” jelasnya.

 

Previous Post Next Post