Murid tercicir tahun 2018 lebih tinggi berbanding 2021 - KPM


KUALA LUMPUR – Seramai 10,015 orang murid berhenti sekolah bagi tempoh Januari hingga Julai 2021 manakala bagi tempoh Mac hingga Disember 2020 pula jumlah murid yang berhenti sekolah 11,301 orang. 

Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, jumlah murid yang tercicir pada 2018 lebih tinggi iaitu sejumlah 34,074 pelajar. 

“Bagi tempoh Januari hingga Julai 2021, seramai 10,015 orang murid direkodkan berhenti sekolah…jumlah keseluruhan murid yang berhenti persekolahan pada Mac 2020 hingga Julai 2021 adalah 21,316 orang. 

“Berbanding tahun 2018, jumlahnya 34,074 orang… maksudnya, untuk tahun-tahun sebelumnya, angka tersebut lebih tinggi dari jawapan yang telah diberikan kepada YB Kangar (Noor Amin Ahmad),” katanya pada waktu pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini. 

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) berhubung inisiatif kerajaan bagi menangani murid tercicir akibat pandemik Covid-19. 

Semalam Dr Maszlee Malik (PH-Simpang Renggam) yang juga bekas Menteri Pendidikan, di Twitter rasminya meluahkan rasa terkilan dengan jumlah pelajar yang berhenti sekolah bagi tempoh itu 

Menurut Hang Soon lagi, bagi menurunkan kadar keciciran dalam kalangan murid, antara tindakan KPM ialah menggerakkan pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk mengesan murid yang tidak hadir semasa sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan semasa sekolah dibuka semula. 

“Kedua, menyediakan perkhidmatan bimbingan dan sokongan psikososial melalui pelbagai kaedah dan mengadakan perbincangan antara ibu bapa atau penjaga murid untuk mengenalpasti sebab dan langkah-langkah yang boleh diambil bagi menangani murid yang kurang minat belajar,” ujarnya. 

Pada masa sama kata beliau, KPM melaksanakan intervensi murid risiko cicir pengajaran dan pembelajaran di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah. 

Jelasnya, intervensi itu melibatkan sektor pengurusan pembelajaran, sektor pengurusan sekolah, pembangunan murid dan sebagainya. 

Sumber – MalaysiaGazette

 

Previous Post Next Post