Selepas demo, waris lapor polis terhadap guru enggan divaksin


PETALING JAYA: Sekumpulan ibu bapa dan waris di sebuah sekolah di Bandar Darulaman, Kubang Pasu, membuat laporan polis semalam terhadap seorang guru wanita yang didakwa enggan divaksin. 

Mereka turut menghantar memorandum kepada pihak sekolah berkenaan tindakan lanjut selepas mengambil kira guru terbabit dikatakan bergerak bebas di kawasan sekolah seperti dilaporkan anak mereka. 

Guru itu dilaporkan ditempatkan di surau sekolah berkenaan. 

Difahamkan, terdapat hampir 1,000 murid di sekolah itu yang belajar di Tahun 1 hingga 6. 

Seorang waris, Mohd Hasbi Fadil, 44, berkata, mereka sudah membincangkan masalah itu dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan minggu lalu, namun setakat ini tiada tindakan diambil. 

Katanya, mereka kemudian sepakat menyerahkan memorandum kepada guru besar sekolah terbabit hari ini, supaya mengambil tindakan dengan menukar guru wanita itu demi keselamatan anak-anak. 

“Kalau kita nak masuk mana-mana premis pun, kita kena lengkap suntikan dos vaksin tapi apa yang kami tahu, guru ini dibenarkan masuk ke sekolah walaupun tidak divaksin. 

“Ia seperti melanggar SOP dan kami bimbang berlaku penularan jangkitan Covid-19 kepada anak-anak kami sekiranya guru terbabit masih enggan divaksin dan berada di sekolah ini,” katanya menurut laporan Harian Metro. 

Hasbi berkata, lebih 50 ibu bapa dan waris mengharapkan pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Daerah dan Negeri melakukan sesuatu bagi membendung masalah itu. 

Katanya, tugas guru yang enggan divaksin itu terpaksa diambil alih oleh guru lain menyebabkan guru yang mengambil alih tugasnya terbeban. 

Beliau mahu perkara itu diselesaikan segera dengan menukar guru terbabit ke tempat lain supaya anak mereka selamat belajar di sekolah itu. 

“Guru itu tetap datang ke sekolah tetapi tidak mengajar kerana diasingkan namun dia tetap melakukan pergerakan di sekolah ini,” katanya. 

Sementara itu, Jabatan Pendidikan Negeri dalam kenyataan berkata, pihaknya sudah menyiapkan laporan mengenai isu berkenaan dan akan menyerahkannya kepada Kementerian Pendidikan untuk tindakan lanjut.

 

Previous Post Next Post