Waris murid gesa pindahkan guru enggan divaksin

Imej via Sinar Harian

JITRA - Waris murid sebuah sekolah di daerah Kubang Pasu menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) memindahkan seorang guru yang tidak menerima vaksin Covid-19 bagi memastikan sesi persekolahan secara bersemuka tidak terjejas.

Waris, Mohd Hasbee Fathil, 44, berkata, dia bimbang untuk menghantar dua anaknya ke sekolah selepas mengetahui masih ada guru tidak mendapatkan suntikan vaksinasi pada minggu lepas.

Menurutnya, pihak sekolah didapati telah mengasingkan guru berkenaan di ruangan khas, bagaimanapun ia tidak dapat meningkatkan keyakinan bahawa anak-anaknya dalam keadaan selamat di sekolah.

"Walaupun guru yang tidak divaksin ini telah diasingkan daripada warga sekolah dan kedudukan dari bilik guru, namun saya masih takut kerana guru berkenaan bebas bergerak di kawasan sekolah.

"Saya sangat bimbang keselamatan dan nyawa anak di sekolah sekali gus memohon supaya tindakan sewajarnya diambil sekiranya guru ini masih enggan menerima vaksin Covid-19 tanpa alasan kukuh," katanya pada Khamis.

Mohd Hasbee ditemui pemberita selepas mengadakan demonstrasi aman dan sesi penyerahan memorandum membantah keberadaan guru yang tidak mengambil vaksin Covid-19 pada Khamis.

Mohd Hasbee berkata, mereka membuat gesaan itu supaya guru terlibat dipindahkan selain memperjuangkan hak anak-anak yang berdepan risiko penularan virus Covid-19 semata-mata.

"Kami difahamkan guru ini antara 28 guru tidak menerima vaksin Covid-19 di daerah Kubang Pasu," katanya.

Sumber: Sinar Harian
Previous Post Next Post