Beri juga kebenaran guru DG52, 54 untuk berpolitik - NUTP

KUALA LUMPUR: Golongan guru yang berhasrat untuk bergiat aktif dalam politik diingatkan untuk memberi keutamaan terhadap pencapaian akademik murid terlebih dulu. 


Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Wang Heng Suan, berkata ini kerana tumpuan hakiki bagi seorang guru adalah mendidik. 

"Idea dan sumbangan tenaga sebagai seorang pendidik adalah penting demi meneruskan agenda pembangunan negara dan Keluarga Malaysia. 

"NUTP dan golongan guru menyambut baik kebenaran guru berpolitik demi menghormati semangat demokrasi di negara ini. 

"Kita juga berharap guru yang mengemukakan permohonan dan aktif 

dalam berpolitik berasa lega dan berpuas hati di atas pengumuman yang dibuat. 

"Ini kerana, sejak zaman merdeka lagi guru berperanan penting dalam 

menuntut kemerdekaan dan banyak jasa bagi seorang guru di dalam pembangunan negara," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini mengumumkan guru sekolah di seluruh negara serta petugas Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dibenarkan untuk berpolitik, berkuat kuasa serta-merta. 

Perkara itu diputuskan Kabinet bagi menghormati prinsip demokrasi, memandangkan sebelum ini golongan berkenaan dilarang untuk berpolitik. 

Sebelum ini, menerusi Pekeliling Perkhidmatan Bil 9 Tahun 2010 hanya membenarkan guru gred DG41 hingga DG48 aktif dalam bidang politik, namun perlu mendapatkan kebenaran rasmi daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan kerana terdapat beberapa syarat yang ditetapkan sebagai penjawat awam. 

Namun, pada hujung tahun lalu, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan mengeluarkan surat arahan pembatalan kelulusan pembabitan warga pendidik di dalam politik. 

Pemakluman surat pembatalan turut menyatakan pembatalan kelulusan adalah membabitkan semua peringkat kumpulan atau gred yang sama sekali tidak membenarkan bertanding atau memegang jawatan di dalam mana-mana parti politik. 

Heng Suan berkata, pada masa sama NUTP juga berharap tiada syarat yang tersembunyi melalui pekeliling baharu yang akan dikeluarkan kelak sehingga boleh mendatangkan permasalahan kepada guru yang aktif berpolitik di kemudian hari. 

Beliau berkata, pihaknya juga berharap kerajaan memberi perhatian dan kebenaran berpolitik kepada guru bilik darjah yang berada di gred DG52 dan gred DG54 'time-based'. 

"NUTP berharap segala kaedah dan panduan yang akan dikeluarkan bersama dengan pekeliling baharu kelak adalah jelas dan mudah difahami supaya guru yang aktif berpolitik tidak melanggar peraturan atau syarat yang ditetapkan. 

"Selain itu, guru juga wajar diberikan kebenaran untuk berkesatuan selaras dengan tatacara profesion perguruan," katanya.
Previous Post Next Post