Cabaran kelas satu murid


Pekan: "Walaupun hanya belajar berseorangan dalam kelas namun saya perlu kuatkan semangat demi menimba ilmu akademik sama seperti rakan lain. 

"Saya perlu kuatkan semangat walaupun kesunyian sepanjang berada dalam kelas, tiada gelak ketawa rakan dan teman untuk berbual," kata murid tahun dua, Nur Qaleesya Elieyna Abdul Qayyum, 8. 

Dia yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Belimbing, dekat sini merupakan murid tunggal berada di tahun dua sekolah berkenaan yang terletak di pinggir Sungai Pahang. 

Nur Qaleesya Elieyna berkata, sebelum ini dia belajar berdua di tahun Dua Amanah namun rakannya terpaksa berpindah kerana mengikut keluarga dan sejak itu kelas tahun dua bertukar menjadi sunyi dan tidak lagi ceria. 

Menurutnya, sebelum ini dia seolah hilang tumpuan untuk belajar terutama apabila terpaksa belajar sendirian dalam kelas namun dengan sokongan keluarga dan guru perasaan kecewa dapat dikikis secara berperingkat. 

"Setiap hari saya belajar dengan bertemankan guru walaupun dapat memberi sepenuh tumpuan ketika belajar namun keseronokan dalam kelas tidak pernah berlaku berbanding kelas lain. 

"Episod belajar sendirian dalam kelas akan terus berlarutan hingga saya berada di tahun enam. Saya reda dengan apa yang dilalui ini walaupun sukar untuk diterima. 

"Sekolah lain meriah dengan murid yang ramai...namun tidak berlaku di SK Belimbing yang terletak di kawasan luar bandar," katanya. 

Sementara itu guru besar SK Belimbing, Zol Kefely Hussin, 51, berkata, SK Belimbing kini hanya mempunyai seramai 22 murid tahun satu hingga enam dan dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM). 

Menurutnya, kelas tahun satu mempunyai seramai enam murid, tahun dua (seorang), tahun tiga (tiada murid), tahun empat (tiga), tahun lima (dua) dan tahun enam (empat).Kelas pra sekolah kini mempunyai enam murid. 

Katanya, SK Belimbing mempunyai tujuh guru termasuk guru besar, walaupun terletak diluar bandar namun sekolah berkenaan menikmati pelbagai kemudahan disediakan kerajaan yang hampir sama dengan sekolah di bandar. 

Menurutnya, sekolah yang mula ditubuhkan pada Ogos 1941 memberi pendidikan kepada kanak-kanak terdiri daripada masyarakat Kampung Belimbing yang kini terdiri daripada 18 keluarga. 

"SK Belimbing turut dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setiap kali bencana banjir berlaku di kawasan Kampung Belimbing yang terletak di tepi Sungai Pahang. 

"Walaupun hanya mempunyai seramai 22 murid namun tanggungjawab memberi pendidikan tidak pernah diabaikan oleh semua guru, jumlah murid bukan ukuran bagi kami yang sudah berjanji untuk memikul amanah yang diberikan, dengan sebaik mungkin" katanya. 

Katanya, di SK Belimbing turut diadakan kelas bercantum bagi melancarkan lagi aktiviti pengajaran guru. 

Beliau mula bertugas sebagai guru besar di SK Belimbing Jun tahun lalu, menganggap dirinya bertuah apabila berpeluang untuk berada di sekolah berkenaan yang tidak mempunyai ramai murid seperti sekolah lain. 

Zol Kefely berkata, sokongan padu diberikan semua guru dalam menjalankan tugas turut menjadi kelebihan yang begitu bererti.Mereka tidak pernah menyesal bertugas di sekolah luar bandar yang cabaran berbeza dengan sekolah di bandar. 

Katanya, walaupun di SK Belimbing terletak di kawasan luar bandar dengan jumlah murid cuma 22 orang namun semua kemudahan pendidikan disediakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP). 

Bagi Nor Azlin Abd Rashid, 29 yang sudah lima tahun mengajar di SK Belimbing, jumlah murid bukan menjadi ukuran terhadap tugas yang diamanahkan. 

"Tugas tetap perlu tunai sebaik mungkin dalam memastikan anak bangsa dibekalkan dengan ilmu. 

"Saya tidak terlalu memikirkan jumlah murid di dalam kelas ketika mengajar, lebih utama yang perlu diberi perhatian ialah bagaimana untuk memastikan murid dapat memahami apa yang diajar. 

"Tumpuan yang lebih dapat diberikan pada murid ketika didalam kelas, sebagai contoh mengajar Nur Qaleesya Elieyna di kelas Dua Amanah memberi peluang kepada saya menumpukan sepenuh tumpuan kepadanya seorang," katanya yang mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu. 

Katanya, dia dan guru lain sentiasa berusaha memberi pendidikan yang terbaik seterusnya untuk melihat pencapaian cemerlang dalam peperiksaan. 

Menurutnya, kejayaan murid menjadi hadiah paling bererti buat guru di SK Belimbing yang memberi sepenuh tumpuan mendidik bukan sahaja pada waktu persekolahan malah turut berlaku diluar sekolah. 

Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pekan, Mohd Razali Mustafar berkata, di daerah Pekan kini terdapat sebanyak 11 sekolah yang dikategorikan SKM. 

Katanya, sekolah terbabit ialah SK Belimbing (22 murid), Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Yoke Hwa (31), SK Pulau Manis (40), SK Pulau Rusa (52), SK Kampung Acheh (66), SK Padang Rumbia (47), SK Serambi (53), SK Pelak (76), SK Tasik Chini (90), SK Pahang Tua (117) dan SK Ganchong (101).

 

Previous Post Next Post