Polis Marin tegur juragan bot abai keselamatan murid ke sekolah


KUDAT. 14hb. Januari 2022 (Jumaat) – Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Kudat telah mengambil tindakan drastik bagi memastikan tahap keselamatan dan keselesaan pelajar-pelajar sekolah menjadi keutamaan pihak berkuasa khasnya PPM. 

Melihat situasi dan keadaan pelajar-pelajar sekolah SK Mangkapon Pitas pihak PPM tiada pilihan lain selain daripada membuat lawatan dan meninjau sendiri masalah yang dihadapi oleh pelajar-pelajar ini yang menggunakan sungai sebagai laluan untuk hadir dan datang ke sekolah. 

Pihak PPM mengambil respon terhadap satu post viral di FB melibatkan pelajar sekolah SK Mangkapon Pitas. PPM Kudat telah membuat lawatan ke sekolah berkenaan diketuai oleh Insp. Mohd Harisman bagi meninjau sendiri keadaan pelajar-pelajar yang menggunakan bot untuk pergi ke sekolah. 

Mengikut maklumat dari pihak sekolah pelajar-pelajar tersebut telah dibekalkan dengan jaket keselamatan bagi kegunaan menaiki bot semasa datang ke sekolah. Walau bagaimanapun pelajar-pelajar ini tidak membawa jaket keselamatan semasa menaiki bot untuk ke sekolah. 

Pihak PPM kudat telah memberi teguran dan amaran keras kepada semua juragan bot yang bertanggungjawab menghantar dan membawa pelajar-pelajar sekolah SK Mangkapon Pitas agar memastikan semua individu yang menaiki bot memakai jaket keselamatan sebagai persediaan awal menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku semasa melalui perairan sungai. 

Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi whatsapp ke Pusat Komunikasi PPM Wilayah 4 Sabah di talian 0139391197.

 

Previous Post Next Post