Sekolah uzur murid jatuh memang dalam senarai penyelenggaraan - Radzi Jidin


Putrajaya - SK Long Bemang, sekolah yang uzur hingga menyebabkan seorang muridnya terjatuh dari beranda sudah pun berada di dalam senarai projek pembangunan penyelengaraan bangunan daif KPM. 

Perkara tersebut dijelaskan oleh Menterinya sendiri, Dr Radzi Jidin dalam satu kenyataaan melalui laman Facebook beliau. 

"Dua hari lalu kami menerima laporan berkaitan murid Tahun 2 di SK Long Bemang, Baram, yang terjatuh daripada beranda sekolah kerana kayu penghadang telah reput. 

"Saya terus meminta semakan dibuat untuk melihat sama ada sekolah ini berada dalam senarai projek pembangunan atau penyelenggaraan bangunan daif di sekolah KPM. Saya dimaklumkan sekolah ini memang telah ada dalam senarai tersebut. 

"Kita akan usahakan sebaik mungkin supaya proses tender bagi pembinaan bangunan dan menaik taraf fasiliti SK Long Bemang akan dibuat selewat-lewatnya bulan Februari ini. 

"Sebagai tindakan segera, JPN Sarawak telah menyediakan sejumlah peruntukan bagi pelaksanaan kerja-kerja menggantikan kayu penghadang koridor dan pembaikan kecil lain di sekolah tersebut yang kini giat dilaksanakan dan sebahagiannya telah siap," jelas beliau. 

KPM menurutnya akan memastikan pelaksanaan projek penggantian ini berjalan lancar dan proses pelantikan kontraktor selepas tender dibuka kelak dimuktamadkan secepat mungkin bagi membolehkan fasiliti yang lebih kondusif dan selamat untuk warga sekolah dapat disediakan. 

KPM juga sentiasa berusaha untuk menyediakan infrastruktur sekolah yang selesa dan selamat demi kelangsungan pendidikan anak-anak generasi pewaris negara. 

 

Post a Comment

0 Comments