Institusi pendidikan jadi lubuk Covid-19 dengan 90 kluster baharu


KUALA LUMPUR - Institusi pendidikan dalam negara terus menjadi lubuk penularan Covid-19 dengan 90 kluster baharu (sekitar 77 peratus) dikesan sepanjang minggu lalu daripada 117 kluster baharu yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pada Jumaat (18 Februari), sebanyak 14 kluster pendidikan dilaporkan daripada 16 kluster baharu iaitu melibatkan Negeri Sembilan (2), Pahang (1), Perlis (1), Pulau Pinang (2), Sabah (2), Selangor (3), WP Kuala Lumpur (1) dan WP Labuan (2).

Kluster paling banyak mencatat kes daripada kluster yang dilaporkan pada Jumaat ialah Kluster Kundur Hilir dengan 68 kes, melibatkan Rembau dan Seremban di Negeri Sembilan dan Kluster Pekatra Indah (Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang) dengan 45 kes.

Sementara itu, angka kes harian baharu Covid-19 dalam negara kekal atas paras 20,000 untuk tujuh hari berturut-turut dengan angka tertinggi dilaporkan pada Rabu (16 Februari), sebanyak 27,831 kes.

Pada Jumaat, Malaysia merekod sebanyak 27,808 kes harian baharu Covid-19, dengan sembilan negeri mencatat kes empat angka, menjadikan kes kumulatif sebanyak 3,166,023.

Negeri yang mencatat kes empat angka adalah Selangor (6,064), Sabah (5,566), Johor (2,716), Kedah (2,537), Pulau Pinang (2,088), Kelantan (1,722), Negeri Sembilan (1,712), Pahang (1,376) dan WP Kuala Lumpur (1,339).

Kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula meningkat kepada 233,065, berdasarkan data CovidNow Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setakat jam 11:59 malam 18 Februari 2022 dengan kumulatif kes kematian pula meningkat kepada 32,276.

Lonjakan kes Covid-19 dalam negara sejak kebelakangan ini dikaitkan dengan varian Omicron yang boleh menyebabkan penularan ganas COVID-19, seperti yang dilaporkan turut melanda banyak negara di dunia.

Menurut data CovidNow KKM sehingga jam 11:59malam 18 Februari, daripada 233,065 kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19, sebanyak 219,696 kes (94.3 peratus) dikuarantin di rumah.

Sebanyak 5,476 Kes (2.3 peratus) lagi di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC); 7,658 kes (3.3 peratus) di hospital; 103 kes (0.0 peratus) di Unit Rawatan Rapi (ICU) tanpa memerlukan Alat Bantuan Pernafasan (ABP) sementara 132 kes (0.1 peratus) di ICU memerlukan ABP.

Dengan kes kumulatif sebanyak 3,166,023 kes, Malaysia kini di tangga 27 daripada 225 buah negara/wilayah yang dilanda Pandemik COVID-19. Di hadapan Malaysia ialah Kanada (3,232,968 kes) dan Peru (3,474,965).

Menurut kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada Sabtu, daripada 27,808 kes harian baharu, hanya 103 kes (0.37 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5; sementara 27,705 kes (99.63 peratus) lagi terdiri daripada kategori 1 dan 2.

KKM meletakkan pesakit Covid-19 yang memerlukan ventilator yang dianggap kritikal di kategori 5. Kategori 4 untuk pesakit yang memerlukan bantuan oksigen dan kategori 3 pula yang menghidap radang paru-paru. Kategori 1 (tiada gejala) dan kategori 2 (gejala ringan).

Sebanyak 12,488 kes sembuh pesakit Covid-19 dilaporkan Sabtu menjadikan kes kumulatif sembuh sebanyak 2,900,682 (91.6 peratus).

Sebanyak 92 kes di Unit Rawatan Rapi disahkan sebagai Covid-19 setakat 18 Februari dan hanya 55 kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham dalam paparan di Facebooknya pada Jumaat turut menyatakan, "Setakat ini, kes Covid-19 yang memerlukan bantuan pernafasan harian yang dicatatkan adalah jauh lebih rendah berbanding kes harian COVID-19. Ini sangat berbeza dengan sewaktu kemuncak gelombang varian Delta.”

Kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt untuk seluruh negara sepanjang tempoh Rangkuman ini melepasi paras 1.00 dengan Labuan (1.86), Sarawak (1.52) dan Sabah (1.44) mencatatkan Ro/Rt tertinggi pada 18 Februari 2022.

R-Naught (Ro/Rt) ialah kebolehjangkitan satu kes positif Covid-19 kepada orang lain dalam tempoh kebolehjangkitan. Ro 0.5 diperlukan untuk melandaikan lekuk jangkitan koronavirus maut ini.

Sementara itu, jumlah kluster aktif dalam negara kembali meningkat dan setakat Jumaat jumlah yang direkodkan KKM sebanyak 486. Secara keseluruhan, sebanyak 6,692 kluster dikesan dan 6,206 daripadanya, ditamatkan.

Sepanjang tempoh rangkuman mingguan Covid-19 berdasarkan data KKM, sebanyak 117 kluster baharu direkod dengan kluster terbanyak adalah pendidikan melibatkan 90 kluster (77.0 peratus), tempat kerja 15 kluster (13.0 peratus), kumpulan berisiko tinggi 8 kluster (7.0 peratus), diikuti pusat tahanan 2 kluster (2.0 peratus) dan komuniti 1 (1.0 peratus) dan import 1 (1.0 peratus). - Bernama
Previous Post Next Post