Murid Tingkatan 4 retak tempurung kepala dipukul


GUA MUSANG: Seorang pelajar Tingkatan Empat sebuah sekolah di daerah ini retak tempurung kepala selepas dipercayai dibelasah lima remaja lelaki dalam kejadian pagi Selasa lalu.

Dalam kejadian di luar kelas jam 11.15 pagi itu, mangsa berusia 17 tahun turut mengalami bengkak di kedua-dua tangan dan belakang badan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, berkata sebelum kejadian mangsa didatangi lima remaja lelaki berusia 18 tahun yang juga pelajar sekolah sama sebelum memukulnya.

"Siasatan awal mendapati, seorang daripada suspek memukul mangsa menggunakan batu di kepala dan pergaduhan dileraikan oleh pengawas yang lalu di situ.

"Mangsa dan lima suspek tidak pernah berkawan rapat dan tidak berlaku perselisihan faham, namun seorang daripada suspek dikatakan tidak berpuas hati serta menuduh mangsa mengganggu teman wanitanya.

"Mangsa yang cedera di bahagian kiri kepala, bengkak di kedua-dua tangan dan bahagian belakang badan menerima rawatan di Hospital Gua Musang," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan awal doktor mendapati tempurung kepala kiri mangsa mengalami kesan retakan sebelum ditahan di wad selama sehari dan perlu menjalani rawatan susulan.

"Semua suspek sudah ditahan pada hari sama dan dibebaskan dengan jaminan polis.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan sehingga mendatangkan kecederaan parah," katanya.

 

Previous Post Next Post