Murid bukan calon SPM tidak dibenar kembali ke asrama lepas cuti Tahun Baru Cina


Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menetapkan pelajar bukan kelas peperiksaan yang pulang bercuti sempena perayaan Tahun Baharu Cina tidak dibenarkan kembali ke asrama.

Sebaliknya kata KPM, mereka akan melaksanakan kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Menterinya Mohd Radzi Jidin berkata keputusan itu dibuat bagi memastikan pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, berada dalam keadaan terlindung daripada jangkitan Covid-19.

“KPM akan terus memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sekolah berasrama khususnya, dapat dipertingkatkan. 

"KPM juga meningkatkan pemantauan di sekolah di bawah KPM bagi memastikan segala SOP dapat dipatuhi dan dapat mengurangkan risiko jangkitan Covid-19,” katanya menerusi sebuah video yang dimuat naik di laman Facebook.

Sementara itu, Radzi turut menjelaskan isu berkaitan peningkatan kes Covid-19 dalam sektor pendidikan, dengan 118,238 jumlah kumulatif dicatatkan dalam tempoh 1 Jan hingga 1 Feb tahun ini.

Katanya daripada jumlah itu, sebanyak 8,451 kes (7.15 peratus) adalah kes berkaitan kluster pendidikan, manakala selebihnya iaitu 109,787 (92.85 peratus) melibatkan kluster lain.

“Secara keseluruhan terdapat 303 kluster di seluruh negara dalam (1 Jan hingga 1 Feb). 

Daripada jumlah kluster ini, 100 kluster atau 33 peratus melibatkan institusi pendidikan di bawah KPM manakala 86 kluster atau 28.38 peratus melibatkan institusi bukan bawah KPM.

“Seratus kluster di bawah institusi bawah KPM tadi, melibatkan keseluruhan 5,494 kes, dan daripada 100 kluster ini, 96 kluster melibatkan institusi bawah KPM manakala empat kluster merupakan institusi swasta yang berdaftar bawah KPM,” katanya. 

Menurut Radzi, daripada 96 kluster yang melibatkan institusi di bawah KPM, sebanyak 84 membabitkan institusi berasrama, terdiri daripada 76 kluster daripada asrama harian dan lapan kluster daripada intstitusi berasrama sepenuhnya.

“Jika kita ambil kira keseluruhan institusi berasrama di bawah KPM, iaitu 1,918 buah institusi, 84 kluster ini adalah bersamaan 4.38 peratus daripada keseluruhan institusi berasrama di bawah KPM,” katanya.

Selain itu, senator terbabit berkata bagi institusi bukan berasrama, terdapat 12 kluster direkodkan melibatkan dua kluster sekolah menengah dan 10 kluster daripada sekolah rendah.

“Jika dilihat 12 kluster ini dan bandingkan dengan keseluruhan 8,356 institusi bukan berasrama di bawah KPM, kita dapati bahawa jumlah 12 kluster ini adalah bersamaan dengan 0.14 peratus daripada keseluruhan,” katanya. - Bernama

 

Previous Post Next Post