Penambahbaikan Peraturan Sijil Sakit Swasta Untuk Penjawat Awam

 

Foto hiasan 


PENAMBAHBAIKAN PERATURAN PENGESAHAN SIJIL SAKIT SWASTA  YANG MELEBIHI 15 HARI BAGI RAWATAN PESAKIT LUAR OLEH PEGAWAI PERUBATAN KERAJAAN

Pekeliling di atas bertujuan melaksanakan keputusan Kerajaan mengenai pindaan peraturan berkaitan penerimaan sijil sakit swasta untuk tujuan meluluskan kemudahan cuti sakit.

Perintah Am 15 Bab C memperuntukkan bahawa Ketua Jabatan boleh menggunakan budi bicaranya untuk menerima sijil sakit yang dikeluarkan oleh doktor swasta bagi tujuan meluluskan cuti sakit.

Selaras dengan perkembangan amalan perubatan di sektor awam dan swasta, Kerajaan telah bersetuju meminda peraturan berkaitan penerimaan sijil sakit yang dikeluarkan oleh doktor swasta untuk tujuan meluluskan kemudahan cuti sakit.


PELAKSANAAN

Kemudahan cuti sakit boleh diluluskan dengan syarat-syarat seperti berikut:

a. bagi pegawai yang menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital atau klinik swasta, sijil sakit yang dikeluarkan oleh doktor swasta tanpa sokongan oleh Pegawai Perubatan Kerajaan boleh diterima jika ia memberi jumlah cuti sakit yang tidak melebihi 15 hari dalam sesuatu tahun kalendar; atau

b. bagi pegawai yang menerima rawatan sebagai pesakit dalam di hospital atau klinik swasta, sijil sakit yang dikeluarkan oleh doktor swasta tanpa sokongan oleh Pegawai Perubatan Kerajaan boleh diterima jika ia memberi jumlah cuti sakit yang tidak melebihi 180 hari dalam sesuatu tahun kalendar; dan

c. jumlah cuti sakit sama ada berasaskan sijil sakit swasta atau sijil sakit kerajaan yang boleh diberikan adalah tidak melebihi 180 hari dalam sesuatu tahun kalendar, di mana 90 hari pertama boleh diluluskan oleh Ketua Jabatan dan 90 hari seterusnya hendaklah diluluskan oleh Ketua Setiausaha.

PINDAAN

Bagi menambah baik peraturan sedia ada, Ketua Jabatan boleh menerima sijil sakit swasta bagi rawatan pesakit luar tanpa tandatangan timbal oleh Pegawai Perubatan Kerajaan tidak melebihi 180 hari dalam satu tahun kalendar bagi kemudahan Cuti Sakit.

Penambahbaikan peraturan ini dilaksanakan melalui MyPPSM Ceraian SR.5.4.5 di portal Jabatan Perkhidmatan Awam seperti diLampiran A.

PEMBATALAN

Dengan berkuatkuasanya Ceraian ini, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 2006: Pindaan Berkaitan Penerimaan Sijil Sakit Swasta Untuk Tujuan Meluluskan Kemudahan Cuti Sakit adalah DIBATALKAN.

Previous Post Next Post