Perlu kajian lebih mendalam laksana KAFA di sekolah menengah - NUTP, iGURU


SHAH ALAM - Pelaksanaan pengajian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di peringkat sekolah menengah yang dicadangkan kerajaan memerlukan kajian lebih mendalam memandangkan sesi persekolahan di peringkat tersebut agak panjang.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang berkata, permasalahan lain juga timbul apabila KAFA diuruskan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menggunakan murid-murid dan premis sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menurut beliau, perlaksanaan yang dijalankan di sekolah akan menyebabkan pengetua tiada kawalan secara langsung kepada sebarang perkara yang berlaku kepada murid-murid mereka di dalam kawasan sekolah.

“Guru-guru yang mengajar KAFA juga adalah di bawah kawalan Jakim dan sudah pasti pematuhan arahan lebih kepada Jakim berbanding dengan pengetua yang merupakan tuan rumah.

“Selain itu, JPN (Jabatan Pendidikan Negeri dan PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) juga tidak ada sebarang kuasa terhadap pelaksanaan KAFA di sekolah sedangkan pihak sekolah sering merujuk kepada pihak PPD jika timbul sebarang permasalahan.

“Perkara-perkara ini perlu diberikan perhatian oleh pihak KPM dan Jakim sekiranya mereka bercadang untuk melaksanakan KAFA di sekolah menengah pula,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Pada Isnin, kerajaan menerusi Jakim bercadang mewujudkan pengajian KAFA di peringkat sekolah menengah sebagai usaha memperkasakan lagi pengetahuan agama dalam kalangan para pelajar sekolah menengah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, melalui KAFA, sukatan yang digunakan berbeza dengan kelas biasa yang mana ia menggunakan sukatan pelajaran yang lebih mendalam.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, secara dasarnya NUTP menyokong cadangan tersebut namun adalah lebih baik sekiranya Jakim membuat pemantapan dan tambah baik pelaksanaannya di sekolah rendah.

Jelasnya, ia bagi memastikan setiap matlamat yang digariskan telah dikuasai oleh semua murid beragama Islam sebelum mereka beralih ke sekolah menengah.

“Sekiranya pelaksanaan KAFA telah mencapai matlamat sebagaimana yang digariskan, sepatutnya tidak ada lagi isu berkaitan pembacaan al-Quran dengan baik dan betul serta pembudayaan amalan fardu sama ada fardu ain dan fardu kifayah dalam kalangan murid beragama Islam di negara kita,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd Azizee Hasan turut menyokong tindakan Jakim untuk melaksanakan KAFA di peringkat sekolah menengah, namun perlu digubal dengan lebih menekankan kepada aspek amali.

Dalam masa sama, katanya, penyelarasan antara Jakim dan KPM juga perlu dilakukan supaya kurikulum yang dilaksanakan tidak bertindih dan seterusnya membebankan banyak pihak.

“Waktu yang sesuai dilaksanakan KAFA adalah selepas waktu belajar. Maksudnya pada waktu kokurikulum. Kalau pelajar asrama pula boleh dilaksanakan pada hari cuti iaitu Sabtu.

“Saya rasa penyelarasan penting. Pada dasarnya KAFA memang bagus, tetapi kita bimbang apabila dilaksanakan, berlaku pertindihan dan membebankan tugas guru. Kalau ada elaun, saya rasa tiada masalah,” ujarnya.

Tambah beliau, bagi tidak membebankan banyak pihak, Jakim disaran untuk melakukan kaedah projek rintis terlebih dahulu sebelum diperluas ke seluruh negara.

“Kena buat rintis. Lakukan pada sekolah tertentu supaya nampak kebaikan pelaksanaan KAFA ini sebelum diperluas kepada sekolah-sekolah lain. Mungkin Jakim dengan KPM buat rintis dahulu untuk lihat keberkesanan,” katanya.
Previous Post Next Post