KPM peka trend guru bersara awal - Radzi Jidin


IPOH: Kementerian Pendidikan dalam proses memperincikan data serta penilaian sebenar berhubung 'trend' persaraan awal dalam kalangan guru yang dilihat hampir menyamai kadar guru bersara wajib.

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin berkata, perincian bukan sahaja dari segi jumlah, namun turut meliputi beberapa perkara lain termasuk mengenai sebab, punca, usia, serta pengalaman dalam karier perguruan bagi yang memohon bersara awal.

"Dalam konteks ini, secara umumnya kadar persaraan dalam kalangan guru yang bersara wajib (dengan bersara pilihan awal) itu lebih kurang sama.

"Kita hendak perincikan perkara ini apabila ramai yang bercakap, macam-macam 'pattern' (corak) dan 'trend' mengenai perkara ini (guru bersara awal).

"Jadi kita sedang susun data ini untuk diperincikan sedikit lagi," katanya ketika sidang media di Sekolah Kebangsaan (SK) Syed Idrus, Chemor, di sini, hari ini.

Beliau yang ditemani Ketua Pengarah Pendidikan, Nor Zamani Abdol Hamid, turut meninjau lima lagi sekolah kebangsaan di sekitar daerah Kinta, di sini.

Pada Februari lalu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dilapor berkata, semua guru di negeri ini diminta tidak mengambil keputusan bersara awal disebabkan tekanan akibat COVID-19.

Terdahulu pada November tahun lalu, Ahli Parlimen Simpang Renggam yang juga bekas bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, turut mengutarakan isu sama menerusi sidang Parlimen.

Maszlee ketika itu dilapor berkata, alasan seringkali dikemukakan guru yang ingin bersara awal adalah 'burnout' atau kelesuan disebabkan bebanan kerja yang disifatkan terlampau banyak.

 

Previous Post Next Post