Bapa beli lima kipas, anak mengadu kelas panas

PETALING JAYA- Seorang bapa dilihat menjadi ‘penyelamat’ kepada anaknya selain murid-murid lain apabila bertindak membeli lima buah kipas untuk diletakkan di dalam kelas tersebut yang dikatakan panas serta tidak selesa.

Tindakan prihatin itu dibuat bapa pelajar terbabit selepas anaknya mengadu berasa panas di dalam kelas berkenaan yang hanya mempunyai tiga kipas sahaja manakala satu daripadanya mengalami kerosakan.

Menerusi hantaran video dibuat pemilik akaun TikTok bernama Hanafi Yahya, anaknya bernama Hariz yang belajar di Sekolah Kebangsaan Slim River, Perak mengadu panas dan berasa kasihan terhadap kawan-kawan serta guru yang berasa tidak selesa.

“Selepas melihat keadaan kelas, memang panas kerana kipas yang ada tiga di tengah-tengah satu sedang rosak. Pelajar di tepi kelas tidak dapat merasa angin.

“Selepas panggil juruteknik, saya beli satu kipas siling dan empat kipas dinding, buat pendawaian siap-siap supaya kemas dan selamat. Semoga cikgu dan rakan Hariz selesa nanti,” tulisnya.

Video itu ditonton lebih 134,000 kali selain menerima reaksi balas lebih 500 komen daripada pengguna TikTok.

“Tahniah tuan, suka ibu bapa macam ini, terus selesaikan masalah anak-anak bukan terus buat aduan sahaja, moga kekal murah rezeki,” doa Geefauziah.

“Sama macam anak saya, balik cakap kelas panas, saya hanya mampu beli bagi dua kipas siling sahaja,” jelas Suhaizah Ismail.

“Tahniah tuan, pelaburan untuk anak bangsa kita, semoga mereka belajar dalam keadaan selesa,” kata Mohd Ridwan99.

 

Previous Post Next Post