Murid hadir bersemuka beri keadilan pendidikan


PETALING JAYA: Keputusan membenarkan semua murid sekolah rendah belajar secara bersemuka dapat menangani masalah berbangkit terutama dari segi penguasaan kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) serta ketinggalan dalam pelajaran.

Ini selepas mengambil kira aspek keselamatan dan kepentingan pendidikan murid-murid khususnya mereka yang ketinggalan pelajaran sepanjang tempoh Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Presiden Ikatan Guru Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd. Azizee Hasan berkata, keputusan Kementerian Pendidikan itu dapat mengurangkan kesan kehilangan penguasaan 3M, masalah murid ketinggalan dalam pelajaran serta menghilangkan kelesuan mereka disebabkan berada dalam tempoh PdPR yang panjang.

Katanya, ibu bapa berperanan penting memberi sokongan kepada anak-anak bagi memastikan mereka hadir ke sekolah dalam keadaan ceria yang mana sebelum ini, emosi dan semangat mereka terganggu.

“Guru juga diharap membuat persediaan secukupnya dan mengenal pasti murid yang bermasalah supaya dapat memulihkan semangat mereka terutama dari segi emosi,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin, Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin menerusi rakaman video di Facebook memaklumkan, murid sekolah rendah dibenarkan hadir ke sekolah tanpa penggiliran bermula 17 April ini bagi negeri-negeri Kumpulan A dan 18 April bagi sekolah di negeri-negeri Kumpulan B.

Dalam pada itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, kehadiran murid ke sekolah secara menyeluruh kini boleh dibenar memandangkan situasi semasa Covid-19 dalam negara adalah terkawal.

“Ini juga dapat memberi keadilan pendidikan sebaik mungkin berikutan kekangan PdPR seperti akses internet dan ketiadaan peranti yang diperlukan khususnya mereka yang berada di pedalaman dan luar bandar serta golongan B40.

“Justeru, warga pendidik patut bersedia menerima kemasukan murid-murid ini di samping mengikut prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Kementerian Kesihatan bagi menjamin kesejahteraan semua,” katanya. – UTUSAN

 

Previous Post Next Post