Murid panjat tembok tingkat tiga sekolah untuk bersembang, bergurau

Tangkap layar klip video yang memaparkan aksi seorang murid berada di luar tembok kaki lima di sebuah sekolah menengah.

PETALING JAYA – Bagai menempah maut serta sengaja cari ‘penyakit’. 

Itu antara reaksi pengguna laman sosial apabila menonton sebuah klip video yang memaparkan aksi seorang murid memanjat tembok kaki lima di tingkat 3 sebuah sekolah menengah. 

Menerusi klip video yang dikongsi oleh seorang pengguna dikenali sebagai Zam Zam, kelihatan seorang pelajar lelaki telah memanjat tembok berkenaan sambil disaksikan oleh beberapa pelajar yang lain. 

Murid berkenaan kemudiannya diihat ‘bergantung’ di luar tembok sambil bergurau dan bersembang dengan beberapa rakannya. 

Tidak dapat dipastikan apa motif murid berkenaan memanjat tembok itu dan kejadian itu dipercayai dirakam di sebuah sekolah menengah di selatan tanah air. 

Susulan perkongsian itu, rata-rata pengguna mengecam tindakan murid tersebut yang sengaja mencari ‘penyakit’ dan boleh membahayakan nyawanya sendiri. 

“Ini macam sengaja tempah maut, pergi sekolah mak bapak suruh belajar bukan cari penyakit,”tulis Man Razman. 

“Bila pendek akal macam ni lah,”kata Awabad Salwa. 

Pada masa sama, ada juga pengguna mahu pihak sekolah mengambil tindakan tegas terhadap murid tersebut supaya kes seperti itu tidak lagi berulang pada masa hadapan. 

“Nama sekolah dah nampak, tuan pengetua tolong ambil tindakan. Nanti ada yang mati berjela-jela pengetua nak jawab. 

“Nak jawab pada polis, nak jawab pada ibu bapa, nak jawab pada PPD, nak jawab pada JPN, nak jawab pada KPM,” tulisnya.-KOSMO! ONLINE

 

Previous Post Next Post