Bakal majikan tidak wajar pinggirkan 'graduan pandemik'

Imej hiasan

SAUDARA PENGARANG,

UMUM mengetahui bahawa pendidikan tinggi adalah antara sektor yang terkesan sepanjang hampir dua tahun negara bertarung dengan pandemik Covid-19 apabila kebanyakan institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini mengambil keputusan untuk tidak meneruskan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka, sebaliknya beralih kepada dalam talian.

Timbul kegusaran dan kemusykilan tentang pengalaman pembelajaran yang telah dilalui oleh pelajar-pelajar ini yang dikatakan kurang terdedah kepada persekitaran kampus dan aktiviti-aktiviti berkaitan dengannya termasuk peluang mengikuti PdP secara bersemuka.

Pandangan-pandangan ini mungkin dilontarkan bersandarkan persepsi semata-mata kerana kita belum lagi mendengar sebarang penilaian daripada pihak majikan tentang tahap kemampuan dan kebolehan graduan-graduan ini.

Oleh itu, adalah tidak adil untuk membuat sebarang kesimpulan tentang kualiti graduan-graduan pandemik ini yang boleh menjejaskan peluang mereka untuk diserap bekerja pada masa hadapan. Beberapa perkara perlu diambil kira apabila membuat penilaian tentang kualiti pelajar-pelajar fasa pandemik ini.

Berbanding dengan graduan sebelum pandemik, pelajar-pelajar ini telah mengharungi pelbagai cabaran yang seharusnya dilihat sebagai nilai tambah yang amat berharga.

Antaranya, mereka terpaksa beralih ke mod PdP secara dalam talian sepenuhnya di pertengahan pengajian apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan yang sudah tentu bukan perkara mudah bagi yang tiada pendedahan kepada kaedah itu sebelum ini.

Bagi pelajar yang mempunyai capaian internet kurang baik terutama di kawasan luar bandar, ada yang terpaksa berulang-alik ke kawasan yang mempunyai kemudahan tersebut untuk mengikuti PdP secara dalam talian.

PENGALAMAN

Cabaran mengikuti pengajian ketika pandemik juga menuntut kekuatan emosi luar biasa. Misalnya, terdapat pelajar yang kehilangan ahli keluarga akibat Covid-19 dan ini sudah tentu telah mengganggu emosi mereka.

Kita juga ada mendengar kepayahan yang ditempuhi oleh pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) apabila ibu atau bapa mereka kehilangan punca pendapatan akibat pemberhentian kerja dan penutupan perniagaan sepanjang pandemik.

Segelintir pelajar terpaksa membantu keluarga mereka dengan melakukan pekerjaan secara sambilan atau perniagaan secara kecil-kecilan dalam talian tanpa meninggalkan pengajian masing-masing.

Persekitaran pembelajaran ketika berada di rumah juga satu cabaran yang perlu dilalui oleh pelajar-pelajar ini terutama yang datang daripada keluarga susah yang tidak mampu menyediakan kemudahan terbaik.

Cabaran yang ditempuhi pelajar ini secara tidak langsung telah membentuk keperibadian mereka seperti daya tahan dan semangat juang tinggi, bersikap terbuka menerima perubahan, kreatif, bersikap proaktif dan sebagainya yang amat berguna apabila memasuki pasaran kerja selepas menjadi graduan.

Mereka juga berpeluang mempraktikkan pelbagai kemahiran termasuk digital, keusahawanan, komunikasi dan penyelesaian masalah menerusi pembelajaran berasaskan pengalaman yang mencabar. – UTUSAN 

 PROF. MADYA DR. SUBRAMANIAM SRI RAMALU, Universiti Utara Malaysia (UUM)

 

Previous Post Next Post