Buli: Sekolah, universiti tidak endah?

DR Muzaffar Syah Mallow

KEJADIAN buli berlaku lagi. Baru-baru ini, kita didedahkan dengan kejadian buli di sebuah sekolah berasrama. Kita juga tidak harus lupa dengan isu buli yang berlaku di institusi pengajian tinggi (IPT) susulan kematian tragis yang menimpa seorang pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain, 21, pada 2017. 

Kejadian dipercayai berlaku akibat dibuli dan didera selepas mangsa dituduh mencuri komputer riba milik rakannya. Kesemua insiden ini bukanlah perkara yang jarang kita dengar. 

Ia sudah lama menjadi buah mulut orang ramai terutama pelajar yang terpaksa melalui jenayah buli ini ketika berada di dalam kawasan sekolah atau kampus universiti setiap hari. Isu buli perlu diatasi segera sebelum menjadi lebih serius hingga boleh mengakibatkan kecederaan parah atau kehilangan nyawa.

Persoalan harus dilontarkan, kenapa kejadian buli dilihat masih berlaku di institusi pendidikan kita sama ada peringkat sekolah mahupun universiti? Keadaan ini menyebabkan seluruh anggota masyarakat semakin gusar.

Penting untuk kita ketahui definisi buli itu dahulu. Apa itu buli? Buli membawa maksud kegiatan seperti memeras ugut, menghina, mengejek, menumbuk, memaki dan sebagainya yang dilakukan oleh pelaku atau pembuli terhadap mangsanya. Buli boleh dilakukan sekali atau banyak kali terhadap diri mangsa.

Pelbagai faktor boleh diambil kira mempengaruhi seorang pelajar untuk terlibat dalam gejala buli. Antara yang utama ialah latar belakang keluarga pembuli yang bermasalah, pengaruh negatif rakan sebaya, kurangnya aspek pendidikan moral dan agama, pembuli hadapi masalah mental atau emosi tidak stabil, persekitaran dan budaya ataupun suasana di sekolah atau universiti yang tidak kondusif serta pengaruh buruk dari internet. 

Dalam mengatasi masalah buli di semua sektor pendidikan, pengurusan sekolah dan universiti perlu memainkan peranan penting bagi membendungnya. Ini. kerana kejadian terbabit berlaku di dalam kawasan dan sewaktu pengawasan, mereka serta pihak pengurusan sekolah dan universiti lebih ketahui masalah yang berlaku dengan terperinci berbanding orang lain. 

Bagi mengatasi buli, pengurusan sekolah dan universiti perlu tampil berani terlebih dahulu mengakui bahawa masalah ini memang wujud dan ia sudah mula menyebabkan kerisauan dalam kalangan pelajar. Mangsa buli tidak akan mengadu kepada pihak pengurusan sekiranya tahu cerita mereka tidak akan dipercayai dan tidak diberi sebarang jaminan perlindungan ataupun penyelesaian jika sanggup tampil ke hadapan serta berkongsi segala maklumat. 

Oleh itu, pihak pengurusan sekolah dan universiti perlu mengambil pelbagai inisiatif bagi mendapatkan maklumat mengenai segala kegiatan buli di kawasan masing-masing sama ada berlaku dalam bentuk psikologi mahupun fizikal. Ini boleh dilakukan dengan meminta pelajar mengisi borang soal selidik berkaitan kegiatan buli. Untuk mendapat respons dan kerjasama yang lebih tinggi dan menyeluruh, identiti pelajar terlibat hendaklah dirahsiakan. 

POSTER, RISALAH 

Semua sekolah dan universiti perlu mempunyai peraturan yang jelas berkaitan masalah buli. Segala peraturan terbabit perlulah diuar-uarkan pada setiap masa, bukan setakat diucapkan setiap awaltahun pada sesi pembukaan sekolah atau majlis suai kenal masuk ke universiti. 

Pihak pengurusan sekolah dan universiti juga digalakkan menampal poster antibuli di dalam premis masingmasing serta mengedarkan risalah antibuli kepada setiap pelajar untuk dibaca bersama ibu bapa atau penjaga. 

Semua maklumat dalam poster serta risalah terbabit perlulah merangkumi definisi dan jenis buli itu sendiri, panduan mudah untuk menanganinya dan paling utama, boleh dihubungi dengan segera sekiranya berlaku kes buli. 

Kerajaan juga perlu memberi pertimbangan untuk mewujudkan sebuah kerangka undang-undang baharu khusus bagi mengatasi masalah buli. Sebarang usaha yang ingin diambil tanpa adanya peruntukan undangundang tidak akan membawa sebarang kesan positif. 

Bagi membendung kegiatan buli daripada berterusan berlaku khususnya di sektor pendidikan seperti sekolah dan universiti, kerajaan boleh meminda sebarang peruntukan undang-undang sedia ada seperti Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) ataupun mewujudkan terus Akta Anti Buli. 

Kerajaan boleh merujuk peruntukan undang-undang di United Kingdom dan Amerika Syarikat. Dengan adanya satu peruntukan undang-undang, semua pihak akan mengambil serius terhadap isu buli ini serta mengelakkan diri mereka daripada terjebak. 

Melalui peruntukan undang-undang ini juga boleh memastikan setiap tempat memiliki polisi antibuli yang lebih jelas, seragam dan sesuai. Dengan adanya undang. undang khusus terhadap perkara ini juga, hukuman setimpal dapat diberikan kepada mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan buli serta gagal membendung kegiatan berkenaan. 

Isu buli tidak boleh dipandang sebelah mata serta hanya diberi perhatian jika berlaku sesuatu insiden seperti baru-baru ini. Ia memerlukan komitmen tinggi daripada semua pihak, baik pensyarah, guru, ibu bapa atau pelajar itu Sendiri bagi memastikan semua institusi pendidikan dalam negara kita menjadi gedung ilmu dan bukannya tempat untuk melahirkan generasi samseng. Perbuatan membuli sama ada untuk berseronok atau kerana benci tidak sepatutnya menjadi amalan biasa atau budaya "yang menunjangi institusi pendidikan di negara kita. 

DR Muzaffar Syah Mallow ialah Profesor Madya di Fakulti Syariah & Undang-Undang. Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). 

 

Previous Post Next Post