Guru taska ditahan dera kanak-kanak empat tahun

Rupiah Abd Wahid


JOHOR BAHRU: Seorang guru taska berusia 24 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang dipercayai menjadi mangsa dera di taska, tempat suspek bekerja.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd. Wahid berkata, suspek wanita itu ditahan di tepi jalan di Jalan Putih, Skudai, di sini semalam.

Menurut beliau, suspek dipercayai melakukan perbuatan dera terhadap mangsa, kelmarin.

“Semalam, polis menerima satu laporan daripada ibu mangsa bahawa anak perempuannya didera di taska asuhannya yang beralamat di Tampoi, di sini.

“Mangsa yang berusia empat tahun itu merupakan seorang kanak-kanak yang hiperaktif dan mempunyai masalah lambat bertutur, di mana taska berkenaan merupakan pusat jagaan bagi kanak-kanak normal dan juga kanak-kanak khas.

“Berdasarkan satu video yang tular, suspek dipercayai menarik telinga mangsa dan juga menekup muka mangsa menggunakan bantal,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah beliau, pemeriksaan dibuat pegawai perubatan di Hospital Sultanah Aminah di sini mendapati mangsa mengalami kesan lebam di bahagian telinga kanan dipercayai akibat didera.

Sehubungan itu, Rupiah memberitahu, pihaknya menjalankan operasi bagi mencari suspek sebelum berjaya menahan wanita berusia 24 tahun itu pada pukul 9 malam tadi.

“Suspek kini dikenakan tahanan reman selama tujuh hari manakala kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” jelasnya.

Dalam pada itu, Rupiah turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu untuk menghubungi polis di talian 07-5563122 bagi membantu siasatan. – UTUSAN

 

Previous Post Next Post