Kerajaan disyor beri cuti khusus untuk wanita senggugut teruk

Haniza Mohd Talha

SHAH ALAM: Kerajaan disaran menggubal undang-undang memperuntukkan cuti khusus bagi wanita mengalami sakit haid teruk atau 'dismenorea' seperti dilaksanakan Sepanyol yang meluluskan undang-undang sedemikian baru-baru ini.

Ini kerana sakit haid yang teruk atau senggugut menyebabkan sakit kepala, cirit-birit, pening, muntah, sakit di bahagian kaki atau pengsan, sekali gus tidak adil untuk mengharapkan pesakit menggunakan kuota cuti sakit (MC) tahunan mereka untuk keadaan yang mungkin berulang setiap bulan.

Mengemukakan syor berkenaan, Timbalan Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Haniza Mohamed Talha, berkata sejak sekian lama, kesihatan haid menjadi topik yang enggan ditangani ramai penggubal dasar terutama dari Asia, termasuk Malaysia.

"Di Malaysia, penyelidikan terbaharu mengenai 'dismenorea' dan wanita bekerja datang daripada YouGov pada 2017. Ia menunjukkan 86 peratus wanita yang ditinjau mengatakan mereka mengalami sakit haid.

"Dalam kalangan wanita yang mengalami sakit haid dan pernah bekerja, 81 peratus memaklumkan ia menjejaskan keupayaan mereka untuk bekerja," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, PBM akan mengemukakan pandangan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta Kementerian Sumber Manusia (KSM) supaya menubuhkan pasukan petugas untuk meneliti saranan itu dengan segera.

"PBM sebagai sebuah parti yang menyokong pemerkasaan wanita, berharap KPWKM dan KSM menubuhkan pasukan petugas untuk meneliti perkara ini dengan segera. Kami juga akan menulis surat kepada kedua-dua menteri untuk mengemukakan pandangan ini," katanya.

Haniza berkata, cuti haid bukan sesuatu yang baharu, malah wanita di Indonesia yang mengalami sakit haid teruk boleh mengambil masa sehingga dua hari dalam sebulan untuk cuti.

"Beberapa negara lain juga sudah mempunyai cuti haid termasuk Korea Selatan, Jepun dan Taiwan. Wanita tidak boleh didiskriminasi kerana fungsi biologi mereka," katanya menambah PBM akan terus mempertahankan hak wanita untuk memastikan kesaksamaan dalam masyarakat.

 

Previous Post Next Post