Kes buli: 30 pelajar sekolah menengah agama di Labu diambil keterangan

SEREMBAN: Polis sudah mengambil keterangan 30 pelajar dari sebuah sekolah agama berasrama penuh di Labu, di sini, bagi membantu siasatan susulan dakwaan pelajar cedera dibuli pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman, berkata semua pelajar terbabit diambil keterangan sehingga jam 2 petang tadi.

Katanya, terdapat empat laporan polis diterima berkaitan kes berkenaan yang sedang disiasat.

"Permohonan reman terhadap enam lelaki bersangkut kes disiasat juga dimohon dan reman dibenarkan selama satu hari sehingga jam 5 petang tadi," katanya dalam kenyataan, malam ini.
Sebelum ini media melaporkan, polis menerima tiga laporan polis Sabtu lalu berhubung kejadian pelajar tingkatan dua cedera di beberapa bahagian badan selepas didakwa dibuli pelajar senior di sebuah Sekolah Menengah Agama (SMA) berasrama penuh, di sini.

Kejadian itu didakwa berlaku kira-kira jam 11 malam Jumaat lalu membabitkan 75 pelajar tingkatan dua yang dibuli 20 pelajar tingkatan empat.

Polis sedang menjalankan siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan cedera.

 

Previous Post Next Post