Pelajar cedera terkena renjatan elektrik ketika banjir

Lokasi kejadian seorang pelajar pusat Giat Mara Sekinchan terkena renjatan elektrik


SABAK BERNAM – Seorang pelajar lelaki cedera apabila terkena renjatan elektrik di Pusat Giat Mara Sekinchan di sini, yang dilanda banjir kilat, hari ini. 

Kejadian kira-kira pukul 2 petang itu berlaku selepas mangsa berusia 19 tahun memegang sebuah corong peniup di kawasan berkenaan. 

Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan daripada seorang guru pukul 2.08 petang. 

Katanya, sepasukan tujuh anggota termasuk pegawai dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai serta Sekinchan Besar dikerah dalam operasi berkenaan. 

“Pemeriksaan mendapati pelajar berkenaan tidak sedarkan diri akibat terkena renjatan elektrik selepas memegang corong peniup 

“Ketika kejadian, kawasan Giat Mara itu dinaiki air setinggi 0.5 meter,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini. 

Jelas Norazam, mangsa dihantar ke Hospital Tanjong Karang untuk menerima rawatan lanjut. 

Tambah beliau, pihaknya menjalankan pemeriksaan menyeluruh dan meminta pihak pengurusan premis menutup semua bekalan elektrik. 

“Tiada kemalangan jiwa lain dilaporkan dan keadaan kembali terkawal. 

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pukul 2.45 petang tadi,” katanya. -KOSMO!ONLINE

 

Previous Post Next Post