Calon SPM cuba selamat rakan maut

Imej hiasan

JELI: Kegembiraan tiga rakan mandi-manda di Lata Guling, Sungai Rual, dekat sini hari ini berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka ditemui lemas.

Lebih memilukan, kejadian berlaku ketika Nor Aina Mohd Nasir, 17, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jeli mahu menyelamatkan seorang rakannya yang tergelincir.

Ketua Polis Daerah Jeli Ahmad Ariffin berkata Nor Aina yang berasal dari Kampung Pasir Dusun bersama dua rakannya itu telah ke tempat kejadian untuk mandi pada 2.30 petang.

“Kira-kira 3.05 petang, rakan Nor Aina iaitu Rosmaidayu Mohd Rasyid, 17, yang turun untuk mandi di lata itu telah tergelincir. Melihat keadaan itu, Nor Aina cuba menyelamatkan Rosmaidayu namun dia turut dihanyutkan air dan tenggelam,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Ahmad berkata Rosmaidayu berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung namun Nor Aina gagal ditemui.

“Pada 3.35 petang, mangsa dijumpai abang kandungnya selepas melakukan selaman di kawasan kejadian. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Jeli untuk bedah siasat,” katanya.

 

Previous Post Next Post