Guru dakwa kedudukan rendah Malaysia dalam PISA punca sukatan pelajaran sekolah lebih sukar

Sukatan pelajaran sekolah rendah dikatakan telah diubah selepas Kementerian Pendidikan kecewa dengan kedudukan negara dalam Pisa, kata seorang guru.

PETALING JAYA: Dakwaan bahawa sukatan pelajaran sekolah rendah khususnya dalam Matematik dan Sains begitu sukar adalah benar, menurut seorang guru.

Guru itu berkata, ini disebabkan kedudukan Malaysia dalam Matematik, Sains dan bacaan dalam Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) yang diadakan tiga tahun sekali.

Malaysia berada pada kedudukan 47 dan 48 dalam penilaian itu, manakala Singapura, Jepun, Korea Selatan dan Vietnam telah menunjukkan pencapaian mengagumkan dan menduduki slot teratas dalam kalangan 78 negara yang dinilai secara konsisten.

Kementerian Pendidikan terus mengubah sukatan pelajaran sekolah rendah beberapa tahun lalu, untuk menjadikannya lebih sukar, sebagai satu cara untuk meningkatkan kedudukan negara dalam Pisa.

Kementerian itu kecewa kerana ia menjejaskan imej negara, menyebabkan mereka memutuskan untuk mengubah sukatan pelajaran beberapa tahun lalu untuk menjadikannya lebih sukar.

“Guru diminta untuk menghadiri kursus sejak beberapa tahun kebelakangan ini untuk diberi taklimat tentang perubahan tersebut. Ketika itulah kami diberitahu langkah itu adalah hasil daripada ranking Pisa,” kata seorang guru.

Guru itu berkata, kementerian menaik taraf sukatan pelajaran Matematik dan Sains Tahun 5 secara berperingkat untuk digunakan Tahun 4, Tahun 6 menjadi Tahun 5 dan sukatan pelajaran Tingkatan 1 diajar kepada murid Tahun 6.

Manakala seorang lagi guru berkata, buku teks turut diubah dan ramai murid bergelut untuk menyesuaikan diri, terutama ketika berlakunya pandemik. Ini memberi kesan kepada pengajaran dan pembelajaran di sekolah sejak dua tahun lepas.

“Penilaian kami menunjukkan sekurang-kurangnya empat hingga lima pelajar memperoleh band terendah dalam setiap mata pelajaran yang mana ia tidak bagus.”

Guru itu berkata, mereka telah memberikan maklum balas kepada guru besar yang sepatutnya menyampaikannya kepada pihak atasan negeri.

“Kami sangat berharap mereka berbuat demikian kerana masalah ini serius. Guru-guru di lapangan yang bergelut.”

Seorang guru mendakwa terdapat kejadian di mana guru besar tertentu menasihatkan guru supaya mengelak daripada memberikan pelajar band terendah dalam penilaian mereka supaya sekolah tidak perlu mengemukakan laporan kepada Jabatan Pendidikan Negeri.

 



Previous Post Next Post