Guru meninggal dunia selepas serangan jantung ketika berhenti solat di masjid

Majlis pengembumian Allahyarham Nik Zulkiflee

PETALING JAYA: Hasrat seorang guru lelaki bersama keluarganya bertandang ke ibu kota tidak kesampaian apabila meninggal dunia akibat serangan jantung ketika mahu menunaikan solat di Masjid Baharu Benta, Lipis, Pahang, pada Ahad.

Nik Zulkiflee Nik Yusof, 48, dikatakan dalam perjalanan bersama ahli keluarganya dari Kota Bharu, Kelantan ke Kuala Lumpur atas urusan keluarga sebelum singgah di masjid itu untuk berehat serta solat.

Ketua Polis Daerah Lipis, Azli Mohd Noor berkata, polis menerima laporan daripada pegawai perubatan Klinik Kesihatan Benta memaklumkan seorang lelaki meninggal dunia, selepas pengsan.

“Sebelum itu, mangsa dibawa ke klinik kesihatan berdekatan oleh orang ramai yang berada di masjid itu untuk rawatan.

“Ketika menerima rawatan, guru berkenaan kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang bertugas di klinik kesihatan tersebut,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Katanya lagi, mangsa merupakan guru di Sekolah Rendah Agama Amalin Puteri, Kota Bharu, Kelantan.

“Hasil bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat serangan jantung dan mayat telah dituntut ahli keluarganya untuk dikebumikan di kampung halamannya,” jelasnya.

 

Previous Post Next Post