Ibu dakwa anak didera, ditekap seterika pelajar senior




TELUK INTAN: Seorang wanita mendakwa anak lelakinya cedera akibat didera sekumpulan pelajar senior dalam kejadian di sebuah sekolah di sini. 

Kejadian itu dikongsi wanita tersebut melalui hantaran di Facebook yang mendakwa ia berlaku Khamis lalu. 

Dalam hantarannya, wanita itu berkata, perbuatan pelajar senior itu menyebabkan badan anaknya yang merupakan pelajar tingkatan dua, melecur selain mengalami kecederaan dan lebam cedera dipercayai akibat dipukul. 

Menurutnya, kejadian itu disedari selepas anaknya mengadu sakit pinggang lalu membawanya Hospital Teluk Intan, di sini untuk pemeriksaan. 

Katanya, dia terkejut apabila melihat anggota badan anaknya mengalami kecederaan teruk selain lebam-lebam. 

“Kesian (kasihan) anak saya, udah anto (sudah hantar) sekolah begini pula jadinya. Kami hantar tiada cacat cela pun, tapi bila dia beritahu sakit pinggang saya terus ke hospital untuk buat check-up, sampai hospital tak sangka tengok badan udah jadi begini. 

“Allahuakbar luluh hati kami ini Badan kena tekap dengan seterika panas, dua tulang dada retak@patah, badan depan belakang berbirat,” katanya dalam hantaran tersebut. 

Katanya, dia bukan hanya membela anaknya semata-mata namun tindakan pelajar-pelajar senior sekolah anaknya itu melampaui batas dan tidak memikirkan perasaan anaknya. 

“Kalau pembuli-pembuli tak fikir perasaan anak saya masa kena belasah, saya sikit pun tidak fikir masa depan pembuli-pembuli ini,” katanya. 

Katanya, kes tersebut sedang dalam siasatan polis. 

Sementara itu, semakan mendapati hantaran di Facebook milik wanita itu sudah dipadamkan beberapa jam lalu. 

Dalam pada itu, bapa kepada pelajar tersebut ketika dihubungi Utusan Malaysia enggan mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan. 

Dia yang enggan identitinya didedahkan berkata, kes anaknya itu dalam siasatan polis. – UTUSAN

 

Previous Post Next Post