Penyelia asrama sekolah sukan palsukan dokumen, terima RM636,095

Hazalilah Ahmad (kanan) didakwa atas 26 pertuduhan memalsukan dokumen dan menerima suapan berjumlah RM636,095 antara Oktober 2015 hingga Januari 2020 di Mahkamah Sesyen, Johor Bahru. - Foto RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Seorang penyelia asrama sebuah sekolah sukan di Bandar Penawar, Kota Tinggi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 26 pertuduhan memalsukan dokumen dan menerima suapan berjumlah RM636,095 antara Oktober 2015 hingga Januari 2020.

Tertuduh, Hazalilah Ahmad, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan 22 pertuduhan pertama, Hazalilah didakwa telah memalsukan dokumen berkaitan bekalan makanan bermasak Islam ke Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, Bandar Penawar, Kota Tinggi sejak 2016 hingga 2017 dengan nilai RM504,752.

Sementara bagi pertuduhan ke-23 dan ke-23, ibu kepada empat anak itu didakwa telah gagal melaporkan wang sogokan berjumlah RM61,600 yang dimasukkan ke akaun bank milik suaminya bagi membantu menguruskan dokumen tuntutan pembekalan makanan bermasak Islam kepada pelajar asrama sekolah berkenaan antara April 2019 sehingga Januari 2020.

Manakala bagi pertuduhan ke-25 dan ke-26, tertuduh didakwa telah menerima wang suapan berjumlah RM69,743.04 melalui akaun bank milik suaminya berkaitan tugas rasmi sebagai Penyelia Asrama dengan memperakukan kerja dilaksanakan dengan memuaskan bagi pembekalan makanan bermasak Islam kepada pelajar asrama sekolah berkenaan dalam tempoh Oktober 2015 hingga Januari 2016.

Atas semua pertuduhan tersebut, dia didakwa mengikut mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan, peruntukkan penjara 7 tahun dan boleh dikenakan denda, Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan juga Seksyen 25 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009. – KOSMO! ONLINE.

 

Previous Post Next Post