Tiada kuota khas untuk guru kontrak di dalam pengambilan guru one-off - Radzi Jidin


PUTRAJAYA – Tiada sebarang kuota khas diperuntukkan kepada calon guru kontrak perkhidmatan (CoS) bagi program pengambilan guru secara one-off.

Itu jelas Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berhubung salah faham yang timbul berkaitan kedudukan guru CoS bagi pengambilan khas guru itu.

Menurutnya, beliau pada awalnya sudah menjelaskan bahawa keutamaan pengambilan khas itu diberikan graduan yang mempunyai ikhtisas pendidikan.

“Sekiranya ada kekosongan selepas mengambil kira calon yang ada ikhtisas pendidikan yang layak maka, barulah kita buka kepada mereka yang tidak mempunyai ikhtisas pendidikan.

“Bagaimanapun, kita tidak mempunyai data lengkap mengenai bilangan graduan yang memiliki ikhtisas pendidikan dalam pasaran.

“Disebabkan tiada data lengkap itu, kita buat unjuran dan hantar sekitar 4,000 calon yang tidak ada ikhtisas pendidikan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk diperakukan,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Katanya, senarai 4,000 calon itu sebenarnya hanya senarai pendek bukannya kuota khusus kepada calon CoS.

Jelas Radzi lagi, JPA hanya bertindak memberi perakuan dan urusan memilih atau pelantikan berdasarkan bilangan yang diperlukan akan dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) selaku badan berkuasa melantik. – KOSMO! ONLINE

 

Previous Post Next Post