Keciciran sekolah kerana kemiskinan meningkat


SHAH ALAM - Kesempitan hidup dan kemiskinan menjadi antara punya berlakunya masalah keciciran murid sekolah di negara ini. 

Selain ibu bapa tidak dapat menyediakan perbelanjaan sekolah secukupnya, ada antara murid menghabiskan masa membantu ibu bapa bekerja sehingga terpaksa ponteng sekolah.

Lebih membimbangkan, sepanjang Mac 2020 hingga Julai 2021, seramai 21,316 pelajar berhenti sekolah direkodkan. 

Jumlah itu bukan angka kecil, sebaliknya menimbulkan persoalan bagaimana masa depan mereka kelak apabila tiada kelulusan terutama Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang menjadi antara syarat bagi memohon pekerjaan dalam bidang tertentu.

Kesannya, ia turut menyumbang kepada punca pendapatan rakyat di mana tingkat gaji seseorang diukur berdasarkan kelayakan pendidikan. 

Situasi itu turut menyumbang kepada masalah menyediakan lebih ramai tenaga kerja berkualiti bagi negara.

Terbaharu, Lembaga Peperiksaan memaklumkan, seramai 10,681 daripada 407,097 calon berdaftar tidak hadir menduduki peperiksaan SPM 2021, sekaligus menunjukkan isu tersebut perlu diberi perhatian serius.

Timbul kebimbangan trend baharu apabila kumpulan tercicir dan mereka yang tidak mengambil SPM tidak hirau tentang kepentingan sijil atau kelayakan akademi kerana berpendapat ada pekerjaan dalam ekonomi gig seperti p-hailing sebagai sumber pendapatan.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (Guru), Mohd Azizee Hasan mengakui masalah kesempitan dan desakan hidup salah satu faktor pelajar mengabaikan sekolah sehingga tidak menduduki peperiksaan.

Justeru, beliau menggesa pelajar yang tercicir itu diberikan pembelaan sewajarnya.

"Jika tidak, ramai lagi yang tercicir dan memberi kesan kelangsungan pendidikan ke peringkat lebih tinggi," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Mohd Azizee mencadangkan agar Kementerian Pendidikan (KPM) segera mengenal pasti punca dan membentangkan pelaporan tersebut dengan melibatkan pelbagai pihak.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Jasni Md Kechik mencadangkan agar kerajaan mewujudkan satu jawatankuasa menangani masalah keciciran pelajar di negara.

Beliau berkata, sudah tiba masanya KPM mempunyai satu pangkalan data pelajar yang keciciran akibat masalah kesempitan hidup.

"Jawatankuasa ini perlu mengenal pasti pelajar-pelajar ini. Kita nak bagi kepada pelajar yang betul-betul memerlukan.

"Kita tak mahu data yang diberikan itu data tidak tepat," ujarnya.

Berita Penuh di Sinar Premium
Previous Post Next Post