UEC bertentangan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Akta Pendidikan - Radzi

(Gambar fail) Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin. - FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kerajaan kekal dengan pendirian tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) kerana ia bertentangan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata UEC yang dilaksanakan di sekolah menengah persendirian Cina (SMPC), menggunakan kurikulum yang digubal serta dibangunkan Dong Zong, selain menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar utama.

Justeru, beliau menjelaskan, kerajaan hanya akan mempertimbangkan penyelesaian berhubung pengiktirafan terhadap UEC jika ia diubah supaya selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

"Dasar Pendidikan Kebangsaan dilaksanakan melalui suatu sistem pendidikan kebangsaan yang memperuntukkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama, melaksanakan kurikulum kebangsaan dan menyediakan murid untuk menduduki peperiksaan yang sama.

"Penetapan ini adalah bagi memenuhi aspirasi serta keperluan negara pada masa hadapan dan sebagai usaha memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat selaras prinsip Rukun Negara.

"Oleh itu, UEC perlu mengikut Dasar Pendidikan Kebangsaan sekiranya mahu dipertimbangkan penyelesaiannya oleh kerajaan pada masa depan," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur) sama ada kerajaan berhasrat mengiktiraf UEC yang digunakan di SMPC, untuk kemasukan ke universiti awam, dan bila peruntukan kerajaan akan disalurkan kepada SMPC pada tahun ini.

Dalam pada itu, Radzi memaklumkan bahawa kementeriannya tidak tidak pernah menyalurkan sebarang peruntukan kewangan kepada SMPC.

"Ini disebabkan sistem pendidikan SMPC yang menawarkan UEC adalah tidak selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan, Akta 550 dan lain-lain perundangan yang sedang berkuat kuasa," katanya.

Post a Comment

0 Comments