Lelaki maut, enam murid Tahun Satu cedera

KEADAAN kereta Exora yang remuk di dalam kemalangan di Jalan Saujana Utama hari ini. FOTO Ihsan Bomba

Sungai Buloh: Lelaki maut, manakala enam murid Darjah Satu Sekolah Kebangsaan Saujana Utama cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Saujana Utama, di sini, hari ini. 

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 1.08 petang. 

Katanya, sepasukan 10 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Saujana Utama dikejarkan ke lokasi kejadian. 

"Menurut laporan awal, kemalangan membabitkan dua kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Proton Exora dan Perodua Aruz. 

"Saksi memaklumkan, kemalangan berlaku apabila Perodua Aruz dinaiki dua wanita yang keluar dari simpang melanggar Proton Exora dipandu seorang lelaki bersama enam murid Darjah Satu yang datang dari sebelah kiri," katanya ketika dihubungi, hari ini. 

Norazam berkata, akibat rempuhan itu Proton Exora terbalik dan bergolek ke bahu jalan.

"Pemandu Proton Exora iaitu lelaki berusia 52 tahun meninggal dunia di tempat kejadian, manakala enam murid yang terdiri daripada empat lelaki dan dua perempuan hanya cedera ringan. 

"Semua murid dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan," katanya. 

Norazam berkata, pemandu dan penumpang Perodua Aruz tidak cedera namun mengalami kesukaran bernafas juga dihantar ke hospital.

 

Previous Post Next Post