Bergurau nyalakan api, remaja 16 tahun maut terbakar

Imej via Bomba

Kuala Selangor: Remaja lelaki yang ditemukan maut selepas terperangkap di dalam tandas terbiar di Bandar Puncak Alam Fasa 3, di sini, hari ini, dikatakan sedang tidur di depan pintu tandas berkenaan. 

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, berdasarkan maklumat daripada saksi dan dua rakan mangsa, mereka bertiga (termasuk mangsa) sedang melepak bermain permainan di telefon bimbit di dalam tandas itu. 

"Mangsa, Muhammad Damin Mikhail Kansol, 16 dikatakan sedang tidur di atas sofa di depan pintu tandas sebelum rakan mangsa menyalakan api di bawah sofa dengan niat untuk bergurau. 

"Selepas asap tebal dan api makin besar, dua rakan mangsa lari ke luar tandas, manakala mangsa yang dalam keadaan separa sedar selepas terjaga dari tidur melarikan diri ke dalam tandas," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. 

Norazam berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 2.35 petang. 

"Seramai 19 pegawai dan anggota bersama empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya dikejarkan ke lokasi kejadian. 

"Sebaik tiba, kami mendapati terdapat mayat remaja lelaki berusia 16 tahun di dalam tandas yang terbiar berkenaan dalam keadaan badannya melecur," katanya. 

Beliau berkata, komander operasi mengarahkan anggota untuk memastikan tiada lagi punca yang boleh mendatangkan kebakaran semula sebelum mengeluarkan mangsa. 

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Previous Post Next Post