Curi wang tabung surau | Murid tingkatan satu dan rakan dicekup

Tangkap layar seorang pelajar tingkatan satu dan rakannya dipercayai mencuri tabung surau di Taman Keramat Permai, Ampang Jaya. - Gambar IPD Ampang Jaya


AMPANG JAYA: Seorang murid tingkatan satu di sebuah sekolah menengah di Seri Kembangan, di sini dan rakannya dicekup polis selepas disyaki terlibat mencuri tabung di sebuah surau di Taman Keramat Permai, dekat sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian itu disedari seorang jemaah surau yang berusia 68 tahun apabila melihat tabung itu tertanggal dari kedudukan asal di bahagian ruangan solat wanita.

Katanya, jumlah kerugian dialami sebanyak RM30 dan pengadu kemudian tampil membuat laporan polis.

"Bertindak atas laporan itu, polis menahan dua lelaki tempatan yang berusia 13 dan 21 tahun kira-kira pukul 10 malam, di Jalan 6/10, Tasek Tambahan, Ampang Jaya.

"Siasatan mendapati suspek pertama masih lagi bersekolah dan seorang lagi suspek tidak bekerja," katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.

Mohamad Farouk menambah, polis turut dirampas sebuah motosikal Yamaha Lagenda dipercayai digunakan di tempat kejadian yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.

"Modus operandi suspek adalah mensasarkan tabung duit derma dalam surau," ujarnya.

Beliau memberitahu, kedua-dua mereka direman empat hari bermula Ahad.

Kes itu katanya disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mempamerkan nombor pendaftaran kenderaan lain.

Seksyen 380 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Sementara Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987 pula memperuntukan hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau dipenjarakan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Previous Post Next Post