Kaunselor main peranan penting bimbing pelajar ketahui hala tuju selepas SPM

Kaji selidik Jabatan Perangkaan yang mendapati kira-kira 390,000 atau 72.1 peratus lepasan SPM tidak mahu menyambung pelajaran. - Gambar hiasan

LANGKAWI: Kaunselor di sekolah memainkan peranan penting membimbing pelajar mengenal pasti peluang yang mereka ada selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mengikut bidang diminati dan bersesuaian dengan kemampuan serta kemahiran masing-masing.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Radzi Jidin berkata, kaunselor dilatih untuk memahami keperluan majikan pada masa akan datang supaya boleh membantu pelajar mengetahui hala tuju mereka selepas tamat persekolahan.

"...jadi habis peperiksaan SPM anak-anak ini dah tahu, kalau nak teknikal dia pergi ke mana, kalau dia nak minat (bidang) sains dia pergi ke mana, guru-guru akan terus membantu anak-anak ini bagi memastikan supaya mereka faham apakah perjalanan yang terbaik untuk masa depan mereka.

"Dalam konteks ini, kalau tak belajar di universiti dalam bidang ini, mereka ada bidang kemahiran, ada macam-macam bidang yang mereka boleh teruskan pengajian mereka. Itulah pendekatan kita supaya anak-anak ini bersedia," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan gimik majlis pecah tanah bagi projek pembinaaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bohor Jaya di SMK Kedawang di sini hari ini.

Radzi diminta mengulas laporan media pada 31 Julai lepas mengenai kaji selidik Jabatan Perangkaan yang mendapati kira-kira 390,000 atau 72.1 peratus lepasan SPM tidak mahu menyambung pelajaran.

Laporan itu menyebut meskipun data berkenaan adalah pada 2019, trend berkenaan dipercayai berterusan pada 2020 dan tahun lepas.

Mengikut data kajian laporan itu pada 2019 membabitkan 560,000 calon SPM yang mengambil peperiksaan, selepas keputusan SPM hanya kira-kira 170,000 memilih menyambung pengajian manakala baki selebihnya memasuki pasaran kerja.

Antara tiga faktor utama mereka yang berumur 17 hingga 18 tahun tidak berminat menyambung pelajaran ialah terpengaruh menjadi pempengaruh di media sosial dan beranggapan belajar tinggi bukan jaminan mendapat pekerjaan lebih baik.

Mengulas lanjut, Radzi berkata data kajian itu perlu diteliti dengan lebih terperinci kerana ia penting untuk sebarang pelaksanaan tindakan yang lebih berkesan.

"Kami sedang berusaha mengkaji data ke peringkat seterusnya. Kita nak lihat secara lebih terperinci berkaitan data tersebut. Perincian data ini penting. Sebarang tindakan adalah berdasarkan perincian data. Tetapi pada pihak kami, kita akan sentiasa pastikan anak-anak ini dapat bersaing.

"Kalau mereka terus terkebelakang sebagai contoh dalam konteks sains dan teknologi, minat untuk teruskan dalam bidang profesional sains dan teknologi ini tidak ada, maka negara akan menghadapi satu cabaran pada masa yang akan datang.

"Jadi, sekarang adalah masa yang penting untuk kita latih mereka daripada sistem kita supaya kita tanamkan minat ini secara semula jadi...mereka datang ke sekolah melihat masa depan mereka ke arah mana, dan daripada kecil mereka didedahkan dengan pelbagai ruang dan peluang yang ada," katanya.

Mengenai projek pembinaan SMK Bohor Jaya itu, Radzi berkata ia melibatkan kos sebanyak RM59 juta dengan kapasiti dapat menampung 900 pelajar tingkatan satu hingga lima dan mempunyai 30 bilik darjah yang dijangka siap pada Januari 2025.

- BERNAMA

Previous Post Next Post