KPM arah semua sekolah periksa tangki air


Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan semua sekolah di seluruh negara melakukan pemeriksaan terhadap tangki air supaya insiden di Sekolah Menengah Kebangsaan Melor di Kelantan tidak berulang. 

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr. Mah Hang Soon, semua infrastruktur sekolah khususnya yang uzur juga perlu sentiasa dipantau dan diselenggara dengan baik, bagi mengelak kejadian yang boleh mengancam keselamatan pelajar, guru serta kakitangan. 

“Yang penting adalah langkah-langkah dari segi pencegahan, yang pertama. Keduanya bila terjadi sahaja insiden, kita terus ambil langkah, kita siasat. 

"Kita ambil langkah-langkah untuk penyelesaian dan langkah selanjutnya bagaimana kita dapat kurangkan. 

"Kita elak masalah sama daripada berlaku dan sebagainya. Termasuk peningkatan, cara-cara peningkatan, sentiasa kita cari untuk kenalpasti dan menyelesaikan masalah tersebut,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Pecah Tanah Pembinaan Dewan Terbuka Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Malim. 

Semalam, sebuah tangki air di SMK Melor, Kota Bharu, Kelantan pecah lalu menimpa laluan pejalan kaki. 

Insiden itu menyebabkan lima pelajar cedera dengan dua daripada mangsa masih menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia, HUSM Kubang Kerian. 

Ujar Dr Mah, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan telah menjalankan siasatan dan mengambil tindakan selain sudah memaklumkan kepada Bahagian Aset KPM berkenaan kos menggantikan tangki baharu.

 

Previous Post Next Post