PRU-15 dijangka selepas pembentangan Bajet 2023

 

Gambar tular yang memaparkan tarikh penting PRU-15. NSTP/Ihsan Media Sosial

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri dijangka hanya akan memohon pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) selepas pembentangan Bajet 2023, yang dijadualkan pada 28 Oktober depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, menegaskan dakwaan dan spekulasi mengatakan Parlimen akan dibubarkan bulan depan, adalah tidak benar.

Selain pembentangan Bajet 2023, katanya, kerajaan juga perlu mengambil kira beberapa faktor lain seperti musim tengkujuh antara November hingga Februari, yang berisiko menyebabkan banjir di beberapa negeri serta menjejaskan perjalanan pilihan raya.

"Saya cukup yakin bahawa Perdana Menteri akan menunggu Bajet 2023 dahulu. Biasanya, orang politik akan gubal bajet yang baik sebelum ia dibentang dan diluluskan di Parlimen.

"Apabila dah lulus, rakyat dah menikmati kebaikan bajet itu, baru sesuai kalau nak bubar, bubarlah ketika itu.

"Tetapi, kerajaan juga kena tengok kemungkinan musim tengkujuh pada November dan Disember di Semenanjung, serta Januari dan Februari di Sarawak kerana negeri sebegini tidak dapat menjalankan pilihan raya yang sesuai (jika banjir)," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas satu gambar tular yang memaparkan tarikh penting PRU-15.

Gambar itu antara lain menunjukkan tarikh pembubaran Parlimen ditetapkan pada 1 September ini, manakala penamaan calon pada 25 September dan PRU-15 dilaksanakan pada 8 Oktober.

Mengulas tarikh berkenaan, Wan Junaidi berpandangan perkara berkenaan tidak benar, dan hanya spekulasi yang dilaksanakan oleh 'cyber trooper' politik.

"Pada pandangan saya, berkemungkinan tak menjadi perkara ini. Ini dibuat oleh cyber trooper atau orang buat spekulasi, seperti mana spekulasi mengenai jawatan menteri sebelum ini," katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan sebarang keputusan pembubaran Parlimen tetap tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong, selaras peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Perdana Menteri boleh minta Tuanku membubar Parlimen, tetapi akhirnya Tuanku ada kuasa di bawah Perlembagaan untuk tidak membubarkan Dewan walaupun ia dimonon Perdana Menteri," katanya.
Previous Post Next Post