RM850,000 untuk Sekolah Pendidikan Khas Cerebral Palsy

JOHOR BAHRU, 1 Ogos - Kerajaan negeri meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM850,000 bagi melaksanakan penambahbaikan di Sekolah Pendidikan Khas Cerebral Palsy Johor.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM350,000 diperuntukkan bagi penambahbaikan pusat komputer manakala RM500,000 bagi pusat fisioterapi sekolah berkenaan.

"Semoga ia dapat menyumbang lebih kepada pendidikan dan pembangunan anak-anak Bangsa Johor yang istimewa ini. Insya-Allah, kerajaan negeri akan sedaya upaya membantu meringankan beban yang dihadapi sekolah ini.

"Saya kagum dengan komitmen dan dedikasi ibu bapa serta guru-guru yang sabar dalam membesarkan dan mendidik 'anak-anak syurga' ini. Saya sedar, ia bukan perkara mudah, " katanya dalam hantaran menerusi  Facebooknya hari ini.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Cerebral Palsy Johor berkata terdapat 63 murid berusia empat hingga 18 tahun di sekolah berkenaan, namun beliau yakin masih ramai ibu bapa di luar sana yang memiliki anak istimewa tetapi tidak dirujuk di situ.

Onn Hafiz berkata berkata pengesanan peringkat awal penting bagi membantu mereka mengesan tahap Cerebral Palsy seterusnya terapi yang bersesuaian dapat diberikan di sekolah itu memandangkan anak-anak berkenaan turut mempunyai potensi besar.

"Mungkin ada ibu bapa tidak tahu di mana hendak mendapatkan rawatan, terapi serta sebagainya dan dalam hal ini, kerjasama semua pihak penting. Sekiranya pihak hospital ataupun klinik kesihatan dapat mengesan kelainan pada bayi yang menjalani pemeriksaan rutin, nasihatkan ibu bapa untuk bawa anak mereka ke sekolah ini. 

"Sambil menyantuni murid, saya juga sempat berbual dengan Al Asyraf Zulkefli yang merupakan bekas penuntut dan kini Ahli Lembaga Pengarah yang memegang portfolio Pegarah Pendidikan dan Pengurusan di sekolah ini," katanya dalam lawatan ke sekolah itu pagi tadi. 

Setiap tahun, kerajaan negeri menerusi Pejabat Menteri Besar Johor menyalurkan sejumlah RM730,000 kepada Sekolah Pendidikan Khas Cerebral Palsy Johor. 

- BERNAMA 

Previous Post Next Post