Selesai segera isu guru naik gred tapi turun jawatan - NUTP


PUTRAJAYA: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) meminta Kementerian Pendidikan (KPM) meneliti semula perjawatan membabitkan warga pendidik selepas dinaikkan gred. 

Presidennya, Aminuddin Awang, berkata ramai pegawai di Jabatan Pendidikan Negeri, KPM serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dipindah tugas ke sekolah dan menjadi guru biasa apabila mereka dinaikkan gred. 

Beliau berkata, situasi itu mencetuskan ketidakharmonian dalam perjawatan di tempat kerja, selain menyebabkan Jabatan Pendidikan Negeri, KPM dan PPD mengalami kerugian kemahiran dan kepakaran pegawai. 

"Bayangkan 15 tahun pegawai itu ditempatkan di PPD, tetapi terpaksa diturunkan ke sekolah hanya kerana dia dinaikkan gred DG52. 

"Kita akan kerugian dari segi kepakaran pegawai, yang sudah di PPD selama 15 tahun dan menguasai bidang dalam kementerian, namun dipindahkan ke sekolah hanya kerana gred dinaikkan. 

"Jadi, dia tidak lagi duduk di kerusi sama kerana dalam jawatan ia adalah untuk gred 48. Bukan itu sahaja, ada juga guru besar di sekolah rendah turut diarahkan kembali menjadi guru biasa kerana dinaikkan gred," katanya ketika ditemui hari ini. 

Aminuddin berkata, pihaknya sudah menyuarakan isu berkenaan kepada KPM, namun belum ada penyelesaian. 

"NUTP mahu guru besar kekal pada jawatan masing-masing biarpun dinaikkan kepada gred lebih tinggi. Buat masa ini, kenaikan gred guru berdasarkan 'time based', menggunakan formula 8:8:6:3 dan boleh mencapai sehingga gred DG54. 

"Justeru, kami mahu pihak yang merangka perjawatan guru supaya lebih peka dengan isu ini," katanya.

 

Previous Post Next Post