2 sekolah Orang Asli dicadang laksana sekolah model khas - Dr. Mah


TANJUNG MALIM: Cadangan pelaksanaan Sekolah Model Khas Komprehensif 9 Tahun (K9) membabitkan dua sekolah Orang Asli di Parlimen Tanjung Malim sudah dikemukakan kepada Kementerian Pendidikan (KPM).

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata sekolah berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Jernang di Sungkai dan SK Pos Bersih di Slim River.

"Saya sudah mengemukakan cadangan kepada KPM supaya jika dapat, tidak perlu bina asrama untuk pelaksanaan K9, kita guna kelas sedia ada.

"Saya rasa buat masa ini kita boleh memikirkan cara bagaimana untuk mewujudkan dan cari perjawatan mana-mana yang sesuai supaya kita boleh mulakan konsep K9 di kedua-dua sekolah berkenaan," katanya selepas majlis penyerahan sebuah televisyen pintar untuk 'Smart Classroom Solution' yang disumbangkan Sharp Malaysia dan menyampaikan sumbangan pakaian sekolah di SK Pos Bersih di sini, hari ini.

Hang Soon turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM10,000 kepada sekolah berkenaan bagi membeli keperluan peralatan sekolah seperti kerusi, meja dan alat muzik.

Sebelum ini, beliau dipetik sebagai berkata, pelaksanaan K9 dilihat mampu menangani masalah keciciran pelajar dalam kalangan Orang Asli.

Katanya, kerajaan sentiasa menitikberatkan pendidikan masyarakat Orang Asli melalui pelbagai inisiatif yang dilakukan termasuk pelaksanaan K9. – BERNAMA

Previous Post Next Post