CUEPACS gesa Radzi kaji semula ‘turun pangkat’ guru besar naik gred

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu Menteri Pendidikan Radzi Jidin mengkaji semula dakwaan bahawa guru besar sebagai pentadbir yang menyandang gred DG52 akan kembali bertugas sebagai guru biasa di sekolah rendah.

Presiden Cuepacs, Adnan Mat, berkata pihaknya dimaklumkan isu itu disuarakan kesatuan yang mewakili perkhidmatan perguruan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) tetapi tiada sebarang penyelesaian dibuat.

“Adalah tidak wajar sekiranya guru besar dan lain-lain pegawai di KPM, JPN (jabatan pendidikan negeri), PPD (pejabat pendidikan daerah) dan penolong kanan diarahkan menjadi guru biasa semula hanya kerana mereka dinaikkan ke gred lebih tinggi. Sistem yang menetapkan guru besar hanya untuk gred DG48 sahaja tidak lagi boleh digunakan memandangkan sistem kenaikan gred guru ketika ini adalah berdasarkan ‘time based’ menggunakan formula 8:8:6:3,” katanya dalam kenyataan.

Adnan berkata, Cuepacs tidak melihat langkah menurunkan jawatan sebagai pembangunan kerjaya sekiranya jawatan seseorang guru itu “diturunkan” daripada guru besar kepada guru akademik biasa hanya disebakan kenaikan gred dalam perkhidmatan.

“Sewajarnya kenaikan gred disusuli tanggungjawab serta peranan lebih sesuai bagi mengiktiraf pengalaman dan kemampuan guru tersebut. Cuepacs berharap KPM dapat menyelesaikan segera isu perjawatan ini bagi memastikan profesion perguruan dilihat sebagai menyokong pembangunan kerjaya guru di Malaysia.

“Perkara ini perlu diselesaikan secara menyeluruh melibatkan semua perjawatan pegawai di JPN serta PPD memandangkan sistem kenaikan gred DG adalah berdasarkan ‘time based’,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak boleh menerima sekiranya seseorang guru terpaksa melepaskan jawatan disandang untuk menjadi guru akademik biasa hanya kerana dinaikkan gred.

“Perkara ini berbeza sekiranya melibatkan masalah disiplin atau permohonan secara sukarela oleh guru untuk kembali ke sekolah sebagai guru akademik semula. Hal ini dianggap sebagai sekatan kepada laluan kerjaya guru dan sewajarnya Kementerian Pendidikan dapat bersama dengan JPA bagi merangka laluan kerjaya lebih baik kepada guru,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan kira-kira 200 guru besar di Semenanjung yang akan dinaikkan ke gred DG52 dalam tempoh dua tahun ini buntu memikirkan nasib mereka yang dikatakan akan “turun pangkat” dengan kembali bertugas sebagai guru biasa di sekolah rendah.

Previous Post Next Post